ALOR SETAR – Polis menahan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra yang terlibat kemalangan meragut nyawa tiga remaja di Kilometer 49.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pemandu lelaki terbabit ditahan untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal Yamaha 135LC yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang MPV berkenaan yang sedang berhenti di lorong kecemasan.
“Pada masa sama, motosikal Yamaha Y16ZR yang datang dari arah belakang gagal mengelak dan melanggar motosikal Yamaha 135LC tersebut.
“Akibat perlanggaran itu, dua penunggang dan seorang pembonceng motosikal maut di lokasi kejadian. Seorang lagi pembonceng mengalami patah kaki dan kini dirawat di zon kuning Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) ,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, pemandu MPV dan tiga penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil memberikan maklumat di Balai Polis Trafik Kota Setar atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Lukmanul Hakim Mohd Fauzi di talian 04-7321222 atau 013-9964614,” ujarnya.
Mangsa yang maut merupakan pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra, iaitu Muhammad Arif Aifan Derani, Muhammad Fahmi Jamel dan Muhammad Habil Mohd Sobri yang kesemuanya berusia 19 tahun.
Seorang lagi rakan mereka, Muhammad Adib Aiman Mohd Hasani masih menerima rawatan di hospital akibat kecederaan. – KOSMO! ONLINE