fbpx
NOTIS peringatan berkaitan larangan membawa vape di sempadan Malaysia-Thailand di Wang Prachan, Thailand.

Bawa vape masuk Thailand boleh dijel 5 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT KAYU HITAM – Rakyat Malaysia yang membawa rokok elektronik atau vape ketika bercuti di Thailand berisiko ditahan seterusnya dikenakan hukuman berat termasuk penjara sehingga lima tahun.

Selain penjara, individu yang didapati bersalah memiliki vape di negara Gajah Putih itu juga boleh dikenakan denda sehingga empat kali ganda nilai barang termasuk cukai di bawah Akta Kastam Thailand.

Bagi kesalahan menggunakan vape itu di tempat awam, pesalah boleh didenda sebanyak 5,000 baht (RM650) mengikut Akta Kawalan Produk Tembakau negara tersebut.

Sementara itu, individu yang dikesan menjual vape pula berdepan hukuman lebih berat di bawah Akta Perlindungan Pengguna Thailand iaitu penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum 600,000 baht (RM78,000) atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut aktivis, Abdul Halim Othman yang juga dikenali sebagai Cikgu Joe Satun, dia percaya terdapat rakyat Malaysia sama ada yang masuk dengan keluarga dan rakan-rakan secara konvoi membawa vape ke Thailand.

“Vape diharamkan di Thailand sejak 2014 lagi dan hukuman bagi kesalahan membawa dan menghisap vape di Thailand ketika ini sangat berat.

INDIVIDU yang membawa vape
boleh dipenjara. – GAMBAR HIASAN

“Jika anda didapati membawa dan hisap vape di sana, bersedia berdepan risiko dipenjara atau denda,” katanya kepada Kosmo!, semalam.

Katanya, meskipun ada yang berkemungkinan membawa vape secara sembunyi-sembunyi, adalah tidak mustahil peralatan itu dapat dikesan menggunakan alat pengimbas ketika pemeriksaan atau penguatkuasaan dilakukan.

“Saya nasihatkan jangan bawa langsung vape ke Thailand kerana padahnya sangat teruk,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Cikgu Joe, rakyat Malaysia perlu memahami tentang undang-undang serta perkara dilarang dilakukan di Thailand.

“Selain membawa vape, kesalahan yang dipercayai paling banyak dilakukan rakyat Malaysia adalah membawa dron dan walkie talkie tanpa kebenaran,” jelasnya.

Kerajaan Thailand pada Mac lalu melancarkan inisiatif baharu untuk orang ramai melaporkan penjual dan pengguna rokok elek­tronik termasuk vape melalui aplikasi mudah alih Thang Rath, lapor portal berita Thaiger.

Skim itu menawarkan ganjaran lumayan dengan pemberi maklumat akan mendapat 60 peratus jumlah denda yang dikenakan terhadap pesalah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN