fbpx

Permohonan Anwar rujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan termasuk sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.

Hakim Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendapati permohonan berkenaan tidak memenuhi peruntukkan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Anwar memfailkan permohonan itu pada 23 Mei, bagi meminta Mahkamah Tinggi yang mendengar saman tersebut merujuk lapan persoalan undang-undang berkenaan kepada Mahkamah Persekutuan.

Lapan persoalan undang-undang itu termasuk sama ada, di bawah Artikel 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sedang berkhidmat menikmati kekebalan terhad daripada tindakan undang-undang berkaitan dakwaan salah laku peribadi yang berlaku sebelum pelantikannya.

Dua minggu lalu, Anwar memfailkan permohonan untuk merujuk lapan persoalan ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada saman sivil yang difailkan Muhammad Yusoff.

Menerusi permohonan yang difailkan oleh firma guamannya, Tetuan Zain Megat & Murad, Anwar memohon mahkamah tertinggi negara memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.

Anwar dalam afidavit sokongan menjelaskan permohonan dibuat bukan untuk melengahkan perbicaraan, tetapi bagi memastikan proses kehakiman berjalan adil dan menurut lunas perlembagaan.

Perdana Menteri turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.

Ahli Parlimen Tambun itu juga mahu mahkamah menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar hak beliau untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang, seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam permohonan yang sama, Anwar turut memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi perlu menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada saman itu merupakan penyalahgunaan proses atau suatu ancaman kepada kepentingan awam.

Permohonan itu juga mahu Mahkamah Persekutuan menentukan sama ada Anwar, sebagai Perdana Menteri semasa, berhak menurut Perkara 5(1) Perlembagaan untuk perlindungan daripada litigasi yang bersifat strategik atau dipolitikkan bagi menjejaskan keupayaannya mentadbir negara.

Muhammad Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021 selepas mendakwa diserang di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.

Dalam saman yang difailkannya, bekas penyelidik itu mendakwa, kejadian tersebut berlaku pada 2018, sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Plaintif mendakwa, Ahli Parlimen Tambun itu melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya walaupun dia menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan itu.

Berikutan dakwaan itu, Muhammad Yusoff selalu plaintif dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan, selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan pelbagai pihak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI