KOTA BHARU – Seorang pelajar sebuah kolej vokasional didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pisau lawi ayam tanpa kebenaran pihak berkuasa di Kampung Repek, Bachok dekat sini pada minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Erry Irwan Rosli, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau jenis lawi ayam berhulu dan bersarung kayu berwarna coklat tanpa tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh semasa berada di sekatan jalan raya Kampung Repek, Bachok kira-kira pukul 2 pagi pada 29 Mei lalu.
Mohd. Erry didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin.
Terdahulu, Kamarul mencadangkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin memandangkan tertuduh didakwa atas pertuduhan kes melibatkan memiliki senjata.
Muhammad Zulfaqar dalam rayuannya memohon agar mahkamah memberi jaminan paling minimum kerana anak guamnya kini masih belajar dan tidak mempunyai pendapatan.
“Tertuduh juga ditanggung bapanya yang bekerja kampung dengan pendapatan RM50 sehari,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM 7,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen, tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE