BERLIN – Sebuah pesawat merempuh sebuah rumah di barat Jerman yang mengorbankan dua orang termasuk juruterbang, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Tragedi itu berlaku selepas pesawat berkenaan melanggar teres sebuah bangunan kediaman di bandar Korschenbroich kelmarin, sekitar pukul 12.30 tengah hari (waktu tempatan).
Ia menyebabkan rumah itu terbakar, kata polis.
Beberapa imej menunjukkan serpihan pesawat bertaburan di atas tanah bersebelahan lubang besar pada dinding rumah.
Pegawai memberitahu agensi berita Jerman, dpa bahawa salah seorang daripada mangsa yang terbunuh ialah juruterbang wanita berusia 71 tahun.
Seorang lagi mangsa ialah penghuni rumah berkenaan yang meninggal dunia ketika pesawat merempuh bumbung.
Anggota bomba berjaya memadam kebakaran dalam masa pantas, manakala punca nahas masih disiasat. – AGENSI