NEW DELHI – Banjir kilat dan tanah runtuh selepas hujan lebat sejak dua hari lepas mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang di timur laut India, kata pegawai hari ini.
Pegawai pengurusan bencana negeri berkata, lapan orang maut di negeri Assam, manakala sembilan di Arunachal Pradesh, kebanyakannya akibat tanah runtuh.
Lima orang lagi maut dalam kejadian tanah runtuh di negeri jiran, Mizoram, kata pihak berkuasa negeri.
Pegawai berkata, enam orang terkorban di Meghalaya, manakala sekurang-kurangnya dua lagi terbunuh di negeri Nagaland dan Tripura.
Amaran merah dikeluarkan untuk beberapa daerah di wilayah itu selepas hujan lebat tanpa henti sejak tiga hari lepas.
Tentera India berkata, ia telah menyelamatkan ratusan orang dalam operasi menyelamat besar-besaran di seluruh negeri Manipur.
“Orang ramai dipindahkan ke tempat yang lebih selamat. Makanan, air dan ubat penting telah disediakan,” kata tentera semalam.
Ketua Menteri Meghalaya, Conrad K Sangma mengarahkan pegawai-pegawai untuk terus berjaga-jaga terutamanya di kawasan yang terdedah kepada tanah runtuh dan rendah. – AFP