SUNGAI PETANI – Sekumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Jack yang aktif melakukan pecah premis perniagaan dan pejabat serta rumah tumpas susulan penahanan lima lelaki dalam dua serbuan berasingan di daerah Kuala Muda, baru-baru ini.
Kesemua suspek berusia antara 29 hingga 52 tahun itu didapati mempunyai antara dua hingga 47 rekod jenayah dan dadah, selain ketua kumpulan tersebut baru sahaja dibebaskan dari penjara.
Mereka menggunakan taktik licik iaitu akan meronda di kawasan premis disasarkan dengan memakai vest dan baju T syarikat utiliti elektrik pada sebelah siang sebelum memecah masuk pada waktu malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, geng itu dipercayai aktif melakukan jenayah berkenaan di sekitar daerah ini sejak dua tahun lalu.
Katanya, pihaknya melancarkan Ops Pintu selepas sebuah pejabat peguam dipecah masuk yang dilaporkan pada 27 Mei lalu dan tiga lelaki tempatan berjaya dicekup dalam masa kurang 24 jam.
“Salah seorang daripada suspek baru keluar dari penjara dan mengaku sebagai ketua kumpulan. Sejumlah dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat 1.82 gram turut dirampas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, di sini hari ini.
Beliau berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya berjaya menahan dua lagi ahli kumpulan sama bersama pelbagai barangan termasuk wang tunai dan barangan berharga bernilai hampir RM40,000.-KOSMO! ONLINE