PIZA, makanan yang mendunia dengan cita rasa mewah berasal dari Itali menjadi pilihan penggemarnya dan di Alor Setar, Kedah juga terdapat sebuah restoran piza, Sulb.
Mengkhususkan menu piza dengan tema, ‘inilah piza sebenar, Sulb’, ia dimiliki oleh pasangan suami isteri, Hanif Nazri, 33, dan Fatin Ilani Zaharulail, 31, yang menyaji piza ala Itali dengan resipi olahan tempatan.
Restoran ini berusaha memberikan cita rasa autentik kepada penggemar makanan Itali dengan menggunakan bahan berkualiti terbaik pada pizanya terutama adunan doh yang difermentasi sehingga 24 jam bagi menghasilkan tekstur piza yang lembut dan mudah dicerna.
Sos piza iaitu pomodoro juga daripada tomato berkualiti tinggi.
Sesuatu yang pasti, Sulb tidak berkompromi dengan doh pizanya apabila menggunakan hanya gandum import dari Itali sekali gus mencetuskan cita rasa berbeza daripada kebanyakan piza di pasaran yang menggunakan resipi ala Amerika Syarikat.
Tingkat kegebuan doh piza ini juga sempurna kerana hanya dibakar sekitar satu minit dalam ketuhar demi mengekalkan kesegaran bahan termasuk topping pada sekitar suhu 400 darjah Celsius.

Sulb yang sudah tiga tahun beroperasi ini menyediakan 13 jenis piza ala Itali dan ideal bagi pencinta makanan Itali yang ingin menikmati sajian autentik dengan suasana nyaman dan tenang di tengah-tengah kota. Dari segi dekorasi, Sulb tampil dengan gaya minimalis dan industrial.
Menu signatur dan tarikan pelanggan di Sulb ialah piza wagyu, wagyu berlado dan lamb meraki yang menggunakan resipi olahan cita rasa tempatan yang bersesuaian selera orang Malaysia.
Bagi penggemar pasta, restoran ini juga memiliki 10 menu kesukaan ramai termasuk spageti Classic Carbonara, Meatball Marinara, Smoked Duck Aglio Olio, Mac & Cheese dan Creamy Pomodorini.
Lebih menarik, pencuci mulut di Sulb juga berasaskan doh piza apabila menyediakan piza pistachio dan chocolate banana caramel yang sesuai dijadikan kudapan ringan.
Sulb turut menyediakan pelbagai jenis minuman kopi dan serta jus yang menyegarkan.

Menurut Hanif, sambutan yang diberikan oleh penggemar piza ala Itali itu sangat menggalakkan terutama apabila mereka memperkenalkan menu piza wagyu.
“Paling laris di sini adalah piza wagyu dan piza wagyu berlado. Berbanding dengan tempat lain, inilah kelainan kami terutama piza wagyu berlado. Kita menggunakan resipi itu untuk memenuhi cita rasa orang Malaysia yang sukakan pedas.
“Namun dari segi pembuatan doh, kita tetap mengekalkan bahan yang berkualiti iaitu gandum yang diimport dari Itali sahaja kerana kita tidak mahu berkompromi dengan perkara ini,” katanya.
Beliau yang turut mempunyai dua kafe pastri di Alor Setar memberitahu, walaupun menggunakan daging wagyu harga setiap piza di Sulb sangat berpatutan berbanding lokasi lain.
“Kita menggunakan kira-kira 100 gram daging wagyu untuk sekeping piza kerana bagi kami itu sudah mencukupi untuk cita rasanya.
“Piza ini hanya dijual pada harga RM79.50 dan lebih menarik harga kombo iaitu dua piza hanya RM150,” katanya.














