fbpx
MOHD. SHUHAILY memaklumkan, polis perlu bergerak seiring dengan teknologi bagi membendung jenayah siber yang semakin mencabar pada masa ini. -SHIDDIEQIIN ZON

Rompakan tanpa senjata, rupa dan jejak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dalam era digital yang bergerak sepantas kilat, dunia siber bukan lagi ruang masa depan, malah ia mula dijadikan medan jenayah hari ini. Tatkala manusia semakin bergantung kepada teknologi, penjenayah pula melihat ruang ini sebagai ladang subur untuk merompak, menipu dan mengeksploitasi mangsa dari segenap penjuru dunia tanpa sempadan, tanpa wajah serta tanpa jejak.

Berhadapan dengan gelombang jenayah moden ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) kini berada di barisan hadapan dalam peperangan siber yang semakin rumit dan mencabar.

Dalam wawancara eksklusif bersama wartawan Kosmo! Ahad, Marlia Zakaria dan Nur Alwani Zafirah Khairul telah menemu bual Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain bagi mendedahkan betapa serius dan mendesaknya situasi jenayah yang telah ‘bermigrasi’ ke alam digital.

Kosmo! Ahad: Dalam ­la­ndskap jenayah masa kini yang semakin kompleks, apakah cabaran terbesar PDRM dalam menangani jenayah era digital ini?
Mohd. Shuhaily: Cabaran utama kami ialah kecanggihan serta kepantasan perkembangan dunia siber. Dunia siber merupakan ruang tanpa sempadan dengan mangsa mungkin berada di Malaysia, tetapi pelakunya di luar negara atau sebaliknya.

Meskipun undang-undang tetap wujud dalam ruang siber, ketiadaan ‘kehadiran fizikal’ menjadikan rondaan atau sekatan seperti di alam nyata sukar untuk dilaksanakan.

Di dunia fizikal, kita boleh mengenal pasti lokasi kejadian dan bertindak secara langsung seperti membuat sekatan jalan raya, rondaan, tetapi di dunia maya, bagaimana kami boleh meletakkan pita ku­ning sebagai sekatan?
Tanpa disedari, dunia siber kini telah mengubah hampir ke­seluruhan cara hidup manusia termasuk cara berurusan, berniaga dan berkomunikasi.

MOHD. SHUHAILY mahu memberi fokus
kepada pengurangan kadar jenayah tahun ini
bagi memberi keyakinan kepada masyarakat.

Bagaimana PDRM menyesuaikan diri dengan perubahan landskap jenayah yang semakin canggih?
Kami tiada pilihan selain bergerak seiring dan melengkapkan diri untuk menghadapi cabaran baharu ini. Ketua Polis Negara sebelum ini telah me­nyarankan agar tumpuan diberikan kepada cyber-enabled crime iaitu jenayah tradisional yang dipermudah atau diperluas me­lalui penggunaan teknologi siber.

Saya sendiri telah menubuhkan satu task force yang terdiri daripada lapan anggota bagi memahami dan mengkaji dengan lebih mendalam tentang cyber-enabled crime ini.

Penjenayah nampaknya lebih pantas dari segi penggunaan teknologi. Kenapa ini berlaku?
Kerana mereka bebas. Mereka tidak perlu isi borang, tunggu kelulusan, atau bentang bajet di Parlimen. Kami pula terikat dengan prosedur kerajaan dan perlu menunggu untuk tempoh masa yang panjang bagi memperoleh teknologi yang diperlukan. Dalam keba­nyakan kes, apabila teknologi yang dimohon sampai ke ta­ngan kami, sistem tersebut sudah tidak relevan dengan keperluan semasa.

Malah, penjenayah kini telah mengembangkan industri jenayah mereka sendiri dengan menggajikan graduan menganggur sebagai tenaga kerja. Ini menggambarkan bagaimana kerajaan kini perlu berlumba dengan penjenayah dalam mengejar kemajuan teknologi.

Bagaimana pula dari sudut dasar dan undang-undang? Adakah kita bersedia?
Perkembangan teknologi berlaku dengan pantas, jauh mendahului proses penggubalan dasar. Konsep technology moves faster than policy sangat jelas di sini.

Jika dilihat, teknologi sekarang mengalami perubahan dalam masa enam bulan sekali, tetapi penggubalan dasar atau pindaan undang-undang yang sedia ada, ia mengambil masa bertahun-tahun. Prosesnya terlalu agak lama sedangkan teknologi bergerak terlalu pantas.

Pihak kami juga menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) untuk membincangkan (merangka) undang-undang yang lebih komprehensif dan bersesuaian dengan ­landskap jenayah moden.

Apakah peranan masya­ra­kat dalam membantu membendung jenayah siber?
Masyarakat perlu menggunakan media sosial dengan lebih bijak serta memahami implikasi setiap tindakan di alam maya. Pendidikan mengenai penggunaan internet secara bertanggungjawab perlu dimulakan dari usia muda, dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka.

Jika dahulu bahan berunsur lucah sukar diperoleh, kini segalanya berada di hujung jari. Fenomena ini telah menyebabkan normalisasi terhadap perlakuan yang dahulunya dianggap memalukan atau tidak bermoral.

Proses normalisasi budaya barat sudah mula masuk dalam budaya kita, tanpa kita sedar accessibility kepada bahan-bahan itu terlalu mudah. Semua ini berlaku dalam fasa yang sungguh pantas sekali gus mencetuskan kes-kes seksual termasuk melibatkan golongan yang sangat muda (bawah umur).

MOHD. SHUHAILY berkata, pendidikan internet perlu dimulakan pada usia
muda dengan ibu bapa perlu memantau aktiviti dalam talian anak mereka.

Bagaimanakah PDRM menge­kal­kan profesionalis­me dalam menghadapi kecaman di media sosial?
Tidak dinafikan, terdapat segelintir masyarakat yang meninggalkan komen berbaur sentimen, tidak berilmu atau tidak berasas. Ketidakharmonian masyarakat juga boleh tercetus akibat pe­ngaruh faktor sosioekonomi dan politik.

Dalam situasi sebegini, PDRM hanya dapat bertindak mengikut lunas undang-undang. Namun, undang-undang itu sendiri perlu disemak dan ditambah baik dari semasa ke semasa selari dengan perubahan gaya hidup serta evolusi jenayah di dunia maya.

Begitu juga dengan kewujudan ‘media-media tidak bertauliah’ yang menyebarkan maklumat tidak sahih. Sebahagian daripada mereka hanya ­ingin menjana pendapatan tanpa mengambil kira kesahihan be­rita, dan a­khirnya menyebabkan PDRM dikritik secara tidak adil.

Saya rasa itu yang pegawai JSJ kena terima hari ini. Kita buat, salah, tidak buat pun (dianggap) salah. Saya ada sebutkan kepada pegawai-pegawai saya untuk memahami bahawa tugas ini adalah amanah. Sama ada tindakan kita diterima atau tidak oleh masyarakat, yang penting ialah kita menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti.

Apakah fokus utama Datuk Seri dan JSJ bagi tahun 2025?
Bagi tahun 2025, saya telah menetapkan lapan fokus utama JSJ antaranya mengurangkan kadar jenayah yang boleh mewujudkan kerisauan masyarakat dan memperkasa kepercayaan dan ligitimasi stakeholder.

Aset-aset JSJ akan diperkasakan melalui perolehan teknologi baharu, manakala sumber manusia pula melalui penstrukturan organisasi serta modul latihan kemahiran baharu di setiap pe­ringkat Jabatan.

Akan diperkasakan juga, kolaborasi bersama rakan strategik, kualiti penyiasatan, pindaan terhadap undang-undang, arahan dan SOP (prosedur operasi standard) selain kesejahteraan serta keselamatan pegawai terus terjamin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN