LAIN macam penangan populariti kumpulan nasyid Inteam apabila tiket Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun habis terjual dalam tempoh dua jam pada 22 Mei lalu.
Sebaik sahaja kumpulan yang dianggotai Mohd. Syahril Abdul Khalid, Muhammad Hazamin Harun, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman itu mengumumkan bakal melangsungkan konsert dan disusuli beberapa video yang tular dalam media sosial, ramai sudah bersedia ‘berperang’ mendapatkan tiket.
Memenuhi permintaan peminat, Inteam menukar lokasi persembahan dari Zepp KL ke IdeaLive Petaling Jaya, selangor yang boleh memuatkan 5,000 penonton. Tidak hanya itu, tarikh konsert juga dipinda ke 28 September depan.
Maka yang belum mendapatkan tiket tidak perlulah menangis di bucu katil, kalian berpeluang melancarkan perang kedua berebut tiket pada 14 Jun nanti.
Mana yang sudah beli tiket sila sambung hafal lirik rangkaian lagu hit Inteam. Barulah lebih ‘feel’ menonton konsert kelak.
Sejujurnya penulis tumpang bangga melihat perkembangan positif ini. Bukan pencinta setia genre nasyid sahaja akan hadir tetapi mereka yang membesar dengan lagu Inteam yang kini sudah dewasa dan peminat bukan beragama Islam juga turut serta.
Masing-masing mahu mengimbas nostalgia bersama kumpulan nasyid yang popular dengan lagu Nur Kasih, Kasih Kekasih, Damba Kasih dan Rabiatul Adawiyah itu.
Sambutan luar biasa itu membuktikan populariti Inteam masih ‘berbisa’ meski tidak lagi seaktif dahulu. Ini juga merupakan petanda baik bahawa genre nasyid tidak pernah ‘mati’ sebaliknya kekal dengan pengikut tersendiri dan tidak mustahil jika momentum ini berterusan akan mengembalikan era kegemilangannya.
Seminggu dua ini, penulis terhibur dengan video-video parodi serta POV (point of view) konsert Inteam yang hangat bertebaran dalam pelbagai platform media sosial.
Inteam turut memberikan ‘kerjasama’ yang baik dalam beberapa video promosi termasuk kolaborasi bersama pempengaruh Papa Ayie dan beberapa stesen radio. Paling mencuit hati POV aksi gerakan ‘henjut bahu’, tak sangka Inteam pun dah ‘rosak’.
Merancakkan lagi keadaan, ramai pula yang berlumba-lumba bikin POV persiapan menghadiri konsert Inteam termasuk beberapa jenama terkenal tempatan. Kemunculan karakter ‘ustaz’ ‘ustazah’ yang sopan berjubah, berkurta melakukan gaya gerakan Inteam ketika beraksi dalam video muzik dan di atas pentas cukup mencuit hati.
Begitu juga dengan POV Avanza, Unser dan Innova menjadi kenderan pilihan untuk ke konsert itu nanti. Kalau tak cukup, jangan susah hati katanya kerana Proton X90 boleh ‘backup’.
Akaun media sosial MRT Malaysia pun antara yang mencuri perhatian penulis apabila ada konten POV kempen ke konsert Inteam menggunakan perkhidmatan MRT. Lucu lihat aksi bersahaja tiga kakitangan syarikat itu menggayakan imej penyanyi nasyid dan aksi henjut bahu Inteam.
Penulis percaya makin hampir tarikh konsert makin ‘havoc’ dengan pelbagai konten yang dimuat naik pengikut Inteam dalam media sosial.
Sokongan yang ditunjukkan itu diharap dapat menyemarakkan lagi semangat Inteam untuk memberikan yang terbaik kepada peminat selepas kali terakhir muncul dengan konsert sempena 20 tahun penubuhan mereka secara atas talian pada 2020.
Penulis pun tak sabar nak lihat ‘outfit’ peminat Inteam bergaya pada hari konsert nanti. Kalau konsert GenKRU ramai bergaya era 90-an, bagaimana pula dengan peminat Inteam?














