PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan tiada jangkaan suhu panas luar biasa akan berlaku dalam tempoh terdekat seperti ramalan beberapa model cuaca yang tular di media sosial.
Sebaliknya kata Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip fenomena cuaca panas yang dialami ketika ini merupakan keadaan yang biasa berlaku saban tahun semasa tempoh Monsun Barat Daya (MBD).
Menurutnya, musim MBD yang telah bermula sejak 10 Mei lalu dijangka berterusan sehingga pertengahan September ini.
“Dalam tempoh ini, keadaan cuaca di negara kita lazimnya adalah lebih kering berikutan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang stabil menyebabkan pembentukan awan hujan berkurangan di kebanyakan tempat.
“Sehubungan itu, banyak kawasan akan menerima jumlah hujan yang sedikit berbanding tempoh lain dengan bilangan hari tanpa cuaca hujan yang lebih banyak,” katanya.
Bagaimanapun katanya, hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di beberapa tempat terutamanya melibatkan kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah pada awal pagi.
“Keadaan sama juga akan berlaku di kawasan pedalaman dan timur Semenanjung, barat dan pedalaman Sarawak serta pedalaman Sabah pada petang dan awal malam.
“Untuk tempoh ramalan tujuh hari ke hadapan hingga 4 Jun, cuaca seluruh negara dijangka kekal kurang hujan dan panas di kebanyakan tempat berikutan kawasan penumpuan angin yang membawa hujan lebat lebih tertumpu di negara jiran kita di Thailand dan Myammar,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial analisis model cuaca yang memaparkan cuaca panas dengan suhu tinggi akan melanda beberapa kawasan di kepulauan Sumatera serta Semenanjung Malaysia.
Berdasarkan model terbabit, cuaca panas itu dijangka berlarutan sehingga hujung bulan atau awal Jun depan.















