MADRID – Legenda rali dunia, Carlos Sainz Sr. mengakui kecewa apabila impian melihat anaknya, Carlos Sainz Jr. bergandingan dengan Max Verstappen di Red Bull tidak menjadi kenyataan.
Bekas pelumba berusia 63 tahun itu menyifatkan peluang menyertai pasukan juara dunia sebagai satu cabaran yang akan digemari oleh anaknya, lebih-lebih lagi selepas pernah berkongsi garaj bersama Verstappen di Toro Rosso pada 2015.
“Saya memang mahu lihat dia berlumba di sebelah Max (Verstappen) dalam pasukan Red Bull. Saya yakin itu cabaran yang dia akan suka hadapi.
“Sayangnya, ia tidak berlaku. Kalau anda tanya Carlos, mungkin dia akan jawab tidak, tapi saya percaya jauh di sudut hati dia memang mahu ke Red Bull,” kata Sainz Sr.
Perbincangan mengenai kemungkinan Sainz Jr. menyertai Red Bull timbul selepas Ferrari mengumumkan ketibaan Lewis Hamilton pada 2025, namun pasukan itu tidak membuka pintu menyaksikan Williams menjadi destinasi baharu buat pemandu berusia 30 tahun itu musim ini.
Kini bersama Williams, Sainz Jr. mula menemui rentak dengan empat penamat berturut-turut dalam kelompok mata, menyumbang 12 mata kepada pasukan yang berada di tangga kelima keseluruhan.
“Dia gembira di Williams sekarang. Ada pasukan di belakang yang mempercayai dan menghormatinya,” tambah Sainz Snr. – AGENSI