fbpx

TNB perkukuh kedudukan serantau melalui kerjasama di negara Teluk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah (kiri) menyaksikan majlis pertukaran dokumen kerjasama antara Pengarah Urusan TNB Remaco, Abidin Sarjo (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Al-Dhow Engineering, Joe Georges Chidiac di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB Repair and Maintenance Sdn. Bhd. (TNB Remaco) mengumumkan kerjasama strategik penting bagi memperkukuh kehadirannya di rantau Teluk sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46–GCC 2025.

Semasa sidang kemuncak tersebut, TNB Remaco memeterai Perkongsian Usaha Sama Strategik bersama Al-Dhow Engineering General Trading & Contracting Co. W.L.L. dari Kuwait, yang dimuktamadkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU).

MoU itu merangkumi kerjasama dalam sektor penjanaan tenaga dan penyulingan air di rantau Majlis Kerjasama Teluk (GCC) selama dua tahun, melibatkan negara-negara Kuwait, Bahrain, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Menurut TNB, perkongsian strategik itu mencerminkan peningkatan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Kuwait, sekaligus menyerlahkan peranan Malaysia yang semakin meningkat di Asia Barat khususnya dalam sektor penting seperti tenaga dan infrastruktur tenaga.

“Sebagai peneraju dalam peralihan tenaga negara, TNB terus menawarkan penyelesaian tenaga yang berkualiti, diyakini dan mampan untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat.

“Menerusi anak syarikat penjanaan kuasanya, TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), TNB menyediakan penyelesaian jangka panjang yang menyeluruh dan disesuaikan mengikut keperluan sesebuah negara.

“TNB memiliki keupayaan komprehensif yang merangkumi seluruh kitaran hayat projek, daripada pembangunan loji jana kuasa hingga ke operasi dan penyelenggaraan bagi membolehkan pelaksanaan infrastruktur tenaga yang mampan dan sedia menghadapi keperluan masa depan di peringkat global,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI