fbpx

Warga emas maut dilanggar lori ketika mahu ke kelas mengaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Habsah maut akibat dilanggar sebuah lori hadapan pejabat APM Daerah Baling pada pagi tadi.

BALING – Seorang wanita warga emas maut akibat dilanggar sebuah lori ketika melintas jalan untuk ke kelas mengaji al-Quran di Jalan Baling-Weng dekat Kampung Bawah Gunung, di sini hari ini.

Dalam kejadian di hadapan pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) kira-kira pukul 9 pagi itu, Habsah @ Salimah Abdullah, 78, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut adik mangsa, Siti Safur, 64, kejadian berlaku ketika kakaknya berjalan kaki melintas jalan untuk ke kelas al-Quran terletak di seberang jalan kira-kira 100 meter dari rumah mereka.

“Saya hanya mengetahui kejadian selepas orang kampung datang ke rumah dan beritahu kakak terlibat kemalangan.

“Meskipun dalam keadaan terkejut, saya terus ke tempat kejadian tetapi kakak sudah meninggal dunia. Beberapa anak saudara sebelum itu sempat mengajar kakak mengucap,” katanya di sini hari ini.

Katanya, dia sememangnya bimbang setiap kali kakaknya mahu keluar ke kelas mengaji kerana dia perlu melintas jalan.

“Kakak tak berapa sihat, dia sakit lutut dan tidak lagi cergas. Ini kali kedua selepas Hari Raya Aidilfitri kakak ke tempat mengaji yang diadakan setiap minggu.

“Pagi tadi, kakak tetap nak pergi mengaji walaupun pelbagai alasan saya berikan kepadanya termasuk melengah-lengahkannya dengan mengubah masa pada jam dinding,” ujarnya.

Katanya, kakak keluar rumah selepas solat sunat duha sebelum saya dimaklumkan tentang kemalangan itu.

Tambahnya, kehilangan kakaknya itu sangat memberi kesan kepada dirinya kerana hubungan mereka sangat rapat.

“Kami masih tidur bersama dan sering bergurau sebelum melelapkan mata. Sebelum kejadian, saya beritahu kakak bahawa saya sentiasa mendoakan keselamatannya dan dia nampak sangat gembira.

“Walau bagaimanapun saya reda dengan pemergiannya yang mana ketika kejadian dia dalam keadaan berwuduk selain mahu ke kelas al-Quran,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md. Ali mengesahkan kejadian dan siasatan sedang dijalankan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI