fbpx

Kolaborasi USIM–Hospital Port Dickson perkasa khidmat komuniti mahasiswa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian mahasiswa terlibat dalam Program Jaulah Sukarelawan Siswa Madani 2025: Sentuhan Kasih Port Dickson di Hospital Port Dickson, baru-baru ini.

PORT DICKSON – Kolaborasi strategik antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Hospital Port Dickson telah membuka ruang baharu dalam memperkasa khidmat komuniti menerusi program Jaulah Sukarelawan Siswa Madani 2025: Sentuhan Kasih Port Dickson di Hospital Port Dickson di sini baru-baru ini.

Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat setempat, tetapi turut memperkukuh jalinan antara institusi pengajian tinggi dan sektor kesihatan awam.

Pengarah Hospital Port Dickson, Dr. Norzaliza Razali, berkata, kerjasama ini menjadi bukti bahawa inisiatif rentas sektor boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial yang menyeluruh dan lestari.

Menurutnya, kehadiran mahasiswa sebagai suntikan semangat bukan sahaja kepada pesakit, malah kepada warga kerja hospital.

“Kami mengalu-alukan program seperti ini kerana ia membantu meringankan beban hospital dalam aspek psikososial, sambil mendidik masyarakat untuk lebih prihatin,” katanya.

Daripada sumbangan barangan perubatan kepada aktiviti kaunseling, pendidikan dan keceriaan kanak-kanak, penglibatan mahasiswa telah memperlihatkan potensi besar golongan muda dalam menyumbang secara bermakna.

Aktiviti yang disusun juga menunjukkan perancangan rapi antara pihak universiti dan hospital, menggabungkan keperluan lapangan dengan pendekatan pendidikan insaniah USIM.

Sementara itu, menurut penasihat program Prof. Madya Dr. Ahmad Nazrul Rosli, kolaborasi ini memperlihatkan bagaimana universiti bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ilmu, tetapi juga sebagai rakan komuniti yang aktif menyumbang kepada kesejahteraan sosial.

“Penganjuran ini turut selari dengan aspirasi universiti untuk memperluas jaringan strategik dengan institusi luar, serta mengaplikasikan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) di luar bilik kuliah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI