KUALA LUMPUR – Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini menandakan detik penentu bagi rantau ini dengan pelancaran Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dokumen bersejarah itu menetapkan laluan ASEAN untuk tempoh dua dekad akan datang yang membayangkan komuniti berdaya tahan, inovatif, dinamik, dan berpaksikan rakyat, yang berdiri sebagai pusat pertumbuhan di rantau Indo-Pasifik.
“Wawasan ASEAN 2045 adalah berani dalam cita-cita dan berasaskan tujuan.
“Ia melakarkan laluan kolektif kami melalui anjakan teknologi yang pantas, keperluan iklim dan kerumitan geopolitik yang semakin meningkat, ditunjangi enam pelan strategik yang meliputi keselamatan politik, ekonomi, pembangunan sosio-budaya dan ketersambungan.
“Ia menyeru integrasi yang lebih mendalam, institusi yang lebih kukuh dan pertumbuhan inklusif yang meningkatkan setiap segmen masyarakat, terutamanya wanita, belia dan komuniti rentan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Malaysia berbangga kerana telah menerajui kejayaan tersebut di bawah Kepengerusiannya.
“Dengan Deklarasi KL, kita bukan sahaja membentuk masa depan, kita juga menempa warisan perpaduan, tujuan dan masa depan bersama untuk ASEAN.
“Kerja di hadapan adalah amat besar, tetapi begitu juga keazaman kami untuk membina rantau yang selamat, mampan dan bangga sebagai ASEAN,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE