PETALING JAYA – GKK Consultants Sdn Bhd (GKK Malaysia) telah memeterai perjanjian dengan IIT Madras Pravartak Technologies Foundation (IITMPTF) bertujuan untuk mengukuhkan inisiatif digital yang sedang dijalankan di negara ini dan juga menyokong Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) Malaysia.
IITMPTF adalah salah satu institusi teknikal terkemuka di India yang menawarkan kursus lanjutan dalam sistem siber fizikal dan bidang-bidang teknologi lain.
Pengarah Urusan GKK Malaysia, Dr. Gajendra Balasingham berkata, ini adalah projek usaha sama pertama yang melibatkan syarikat pertama di negara ini dengan hab inovasi dari India.
“Kerjasama ini bertujuan untuk merapatkan ruang kemahiran digital melalui program pendidikan teknologi yang diperakui dalam perkembangan teknologi yang sedang pesat membangun khususnya dalam bidang AI, rekaan semikonduktor, tenaga hijau dan aplikasi industri 5.0 serta domain digital yang lebih kehadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Gajendra memetik kenyataan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia yang mana ekonomi digital menyumbang 23.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia yang berjumlah RM427.7 bilion pada tahun 2023.
Sehubungan itu, jelas beliau, adalah amat strategik untuk lebih ramai rakyat di negara ini menguasai kemahiran digital yang menjanjikan potensi pendapatan yang tinggi.
“Dengan tindakan terbaharu Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif, usaha ini memainkan peranan penting untuk menjadi penyumbang utama dalam langkah pemotongan kos secara keseluruhan seperti mana yang dilakukan oleh syarikat antarabangsa mengambil jalan keluar untuk mengambil lebih ramai pekerja Malaysia dalam organisasi mereka.
“Ini adalah masa yang tepat seiring dengan kerjasama ini yang telah dimulakan pada awal tahun. Ia adalah untuk memperkasakan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan khususnya dalam sektor teknologi yang sedang pesat membangun,” ujarnya.
Tambah beliau, sebagai pemain utama dalam landskap pendidikan teknologi sumber manusia di Malaysia, kerjasama ini adalah selaras dengan fokus digital negara terhadap tadbir urus AI dan keutamaan strategik NAIO, memastikan tenaga kerja kekal berdaya saing dalam era IR5.0.
Program pertama melibatkan seramai 550 pelajar tahun akhir di Universiti Utara Malaysia dengan kerjasama IITMPTF dan juga rakan ekosistem GKK Malaysia.