fbpx
PERLOMBONGAN di angkasa lepas untuk mendapatkan nadir bumi dijangka berlaku pada masa depan.

K2

Odin teroka potensi perlombongan di angkasa lepas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERLOMBONGAN asteroid telah lama menjadi topik perbincangan dalam komuniti saintifik dan industri angkasa. Sumber semula jadi di Bumi semakin berkurangan, manakala permintaan terhadap bahan mentah berteknologi tinggi kian meningkat, terutamanya dalam industri tenaga bersih, elektronik dan pertahanan.

Pada tahun ini, dunia menyaksikan satu lagi langkah besar dalam penerokaan angkasa apabila kapal angkasa (Space Probe), Odin berjaya dilancarkan ke orbit menggunakan roket Falcon 9 milik SpaceX.

Misi yang dilancarkan oleh syarikat perlombongan asteroid Amerika Syarikat (AS), AstroForge itu bukan sekadar usaha sains biasa.

Sebaliknya, ia menandakan permulaan era baharu dalam sektor perlombongan angkasa yang dilihat berpotensi mengubah landskap ekonomi global dalam dekad akan datang.

Menurut jurucakap AstroForge, Odin ialah probe (alat) penyiasat automatik yang dibangunkan oleh konsortium antarabangsa yang terdiri daripada syarikat-syarikat teknologi angkasa, agensi aeroangkasa serta pelabur swasta.

“Tujuannya adalah untuk menjalankan tinjauan awal ke atas satu asteroid yang dikenali sebagai Vesta Minor 12B.

“Ia merupakan batuan angkasa yang dipercayai kaya dengan logam bernilai tinggi seperti platinum, nikel, kobalt dan unsur nadir bumi (rare earth elements).

“Misi Odin direka untuk mengumpulkan data mengenai komposisi kimia, struktur permukaan, medan graviti dan medan magnet asteroid tersebut,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tambahnya, maklumat itu penting untuk menilai sama ada asteroid tersebut sesuai untuk dilombong secara komersial pada masa depan atau tidak.

Odin telah dilancarkan ke angkasa pada Februari lalu dengan menggunakan roket Falcon 9 milik SpaceX yang boleh digunakan semula. Ia bukan sahaja menjimatkan kos pelancaran, malah mempercepatkan jadual misi.

Dengan keupayaan untuk menghantar muatan ke orbit dengan tepat dan boleh dipercayai, SpaceX kini menjadi tulang belakang kepada pelbagai misi angkasa, termasuk projek-projek swasta seperti ini.

RUPA bentuk Odin yang dibangunkan oleh AstroForge.

Odin telah dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida dan dijangka mengambil masa kira-kira 11 bulan untuk tiba di kawasan sekitar asteroid sasarannya.

Sepanjang perjalanan, Odin akan menjalankan beberapa siri manuver dan kalibrasi untuk memastikan ketepatan pengumpulan data.

Untuk makluman, perlombongan asteroid ialah proses meneroka dan mengambil sumber mineral serta logam berharga daripada asteroid yang berada di angkasa lepas.

Konsep itu melibatkan penggunaan teknologi angkasa untuk mengenal pasti, mendarat dan mengekstrak bahan mentah dari asteroid.

Berkongsi tentang potensi perlombongan asteroid, pakar dalam mineralogi kosmik dari AS, Prof. Sara Russell memberitahu, asteroid tertentu mengandungi kandungan logam yang sangat tinggi dan jauh lebih pekat berbanding di Bumi.

“Sebagai contoh, satu asteroid bersaiz beberapa ratus meter boleh mengandungi logam bernilai berbilion dolar.

“Selain itu, logistik dan teknologi angkasa lepas ketika ini telah maju untuk menjadikan misi sedemikian berdaya saing dari sudut kos, sekurang-kurangnya dalam fasa peninjauan serta ujian,” ujarnya.

Walaupun teknologi semakin canggih, namun misi perlombongan asteroid tetap berdepan cabaran besar.

Antaranya, risiko teknikal dalam pendaratan dan pengambilan sampel serta ketidaktentuan undang-undang antarabangsa mengenai hak milik sumber angkasa.

Berkongsi tentang perkara itu, jurutera dan Pengasas Bersama AstroForge, Matt Gialich berkata, potensi ekonomi perlombongan angkasa sangat besar.

“Jika misi Odin berjaya menunjukkan bahawa asteroid tersebut layak untuk perlombongan, ia boleh membuka pintu kepada pelaburan besar-besaran dalam infrastruktur perlombongan angkasa.

“Ini termasuk pembangunan sistem robotik automatik, kemudahan pemprosesan di orbit dan kemungkinan membawa bahan mineral ke Bumi.

“Mineral ini juga boleh digunakan secara langsung di angkasa untuk menyokong misi jangka panjang ke bulan dan Marikh,” kongsinya

Sejak pelancaran Odin ke angkasa, misi tersebut berdepan pelbagai cabaran dan dilaporkan bakal berakhir dengan kegagalan.

Hal ini kerana beberapa jam selepas pelancaran, probe Odin mengalami masalah teknikal yang menyebabkan ia kehilangan kawalan orientasi dan mula berputar di angkasa.

Berdasarkan perkongsian daripada AstroForge, situasi itu menyukarkan komunikasi antara probe dan pusat kawalan misi. Syarikat itu juga melaporkan bahawa peluang untuk memulihkan komunikasi dengan Odin adalah sangat tipis kerana kedudukannya tidak stabil dan sukar dikesan dengan tepat. ​

Menjelang awal Mac lalu, Odin berada kira-kira 300,000 kilometer dari Bumi dan masih berputar di angkasa.

Walaupun terdapat kemungkinan bahawa panel suria probe masih menghasilkan tenaga, namun ketidakstabilan orientasinya menghalang operasi normal dan komunikasi yang berkesan.

AstroForge juga mengakui bahawa peluang untuk menyelamatkan Odin adalah sangat rendah.

Bagaimanapun, mereka menekankan bahawa misi itu memberikan pengalaman berharga dalam pembangunan dan pelancaran probe angkasa dengan kos rendah dan pembangunan singkat.

Walaupun menghadapi kegagalan dengan Odin, namun AstroForge merancang untuk meneruskan usaha perlombongan asteroid dengan misi seterusnya dinamakan Vestri.

“Probe Vestri dijangka dua kali ganda lebih besar daripada Odin dan direka untuk ke asteroid iaitu di sasaran yang sama, 2022 OB5.

“Misi ini bertujuan untuk mendarat di asteroid tersebut dan melombong logam berharga seperti platinum,” kongsi syarikat berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN