BATU GAJAH – Tiga pelabur berpotensi tinggi dijadualkan akan melawat beberapa tapak pelaburan di Perak pada Jun ini, sebagai langkah awal untuk menilai dan merancang pelaburan mereka di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, lawatan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam menarik pelaburan strategik dan berimpak tinggi, khususnya di Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).
Menurutnya, ketiga-tiga syarikat dari Belgium ialah Belgian Scrap Terminal (BST) yang mengendalikan pemisahan bahan kitar semula, Soenen Group Green Vessel Recycling yang pakar dalam pelupusan kapal secara lestari serta Steinberg Logistics International yang menyediakan perkhidmatan logistik bersepadu.
“Lawatan tapak ini merupakan tindakan susulan yang penting bagi memuktamadkan komitmen pelaburan mereka,” katanya pada sidang akhbar Hari Bertemu Pelanggan 2025 di Dewan Bandaran Kinta, Batu Gajah hari ini.
Menurutnya, beberapa pelabur sedia ada juga menunjukkan komitmen untuk memperluaskan operasi mereka di Perak, termasuk syarikat multinasional Saint-Gobain yang beroperasi di Taman Perindustrian Kanthan, Chemor.
“Saint-Gobain bercadang menambah pelaburan sebanyak RM200 juta. Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) mencadangkan supaya mereka memindahkan operasi ke Silver Valley Technology Park (SVTP).
“Saya dimaklumkan oleh InvestPerak bahawa syarikat itu telah melawat SVTP bagi menilai kesesuaian lokasi tersebut untuk pelaburan baharu,” katanya.
Beliau berkata, selain itu, syarikat Lhoist Group dari Belgium turut merancang untuk menambah pelaburan sebanyak RM250 juta. – KOSMO! ONLINE