MELAKA – Kerajaan negeri menarik semula sijil halal dua buah hotel terkemuka bertaraf lima bintang di Bandar Hilir di sini selepas dikesan menganjurkan parti minuman keras awal bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, serbuan turut disertai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas menerima aduan daripada orang awam.
Katanya, pemeriksaan mendapati pihak hotel menggunakan peralatan dapur sama yang mendapat pensijilan halal lima tahun lalu.
“Ketika pemeriksaan dibuat, JAIM mendapati memang ada parti sedang berlangsung dan bekas digunakan untuk arak dicampur dengan peralatan dapur yang diperakui halal.
“Kesalahan itu juga diakui pihak hotel, jadi kita ambil tindakan tegas dengan menarik semula serta-merta sijil halal,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, kedua-dua hotel itu perlu membuat permohonan semula sekiranya mahu mendapatkan status halal dalam tempoh tiga bulan.
“Sekiranya berpuas hati kita akan memberikan sijil halal dengan syarat mereka menepati semua syarat yang ditetapkan dan tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.
“Bagaimanapun setakat hari ini, mereka belum membuat permohonan dan JAIM akan membuat pemantauan bagi memastikan tiada kesalahan serupa dilakukan oleh 30 hotel lain yang mempunyai sijil halal,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE