KLANG – Padah menimpa sebuah syarikat pengeluar roti apabila didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menaikkan harga roti kentang, tahun lalu.
Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar menjatuhi hukuman itu selepas syarikat itu sebagai Orang Kena Saman (OKS) yang diwakili pengarahnya, Khu Kim Chai, 67, menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes itu.
OKS membayar denda itu selepas prosiding berkenaan.
Mengikut pertuduhan, syarikat beralamat di Klang itu didakwa telah mencatut dalam menjual barangan roti kentang dengan menaikkan harga jualan dari RM3.35 kepada RM3.51.
Tindakan itu telah menyebabkan kenaikan kepada margin Keuntungan bersih sebanyak RM0.16 daripada RM1.89 kepada RM2.05.
Kesalahan itu dilakukan di syarikat berkenaan di Taman Klang Utama pada 27 Mei 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(1)Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang dibaca bersama Per 3(b) Peraturan -Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan ( Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Yang Tidak Munasabah) 2018 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 sekiranya disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Muhamad Saiful Saaidin manakala OKS diwakili Peguam Mohd Ridzuan Omar. – KOSMO! ONLINE