KLANG – Seorang penunggang motosikal maut digilis selepas dirempuh dari belakang oleh sebuah lori di Persiaran Rajawali – Jalan Angsa, Taman Berkeley, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa lelaki tempatan berusia 41 tahun maut di lokasi kejadian.
Kemalangan itu turut tular menerusi video berdurasi 12 saat.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, siasatan mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 54 tahun dari arah Persiaran Rajawali telah membelok kiri memasuki Jalan Angsa telah melanggar belakang motosikal ditunggangi mangsa.
“Pemandu lori itu yang tidak sempat mengelak lalu menggilis mangsa. Penunggang motosikal itu meninggal dunia di lokasi kejadian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, hasil saringan air kencing mendapati pemandu lori itu negatif dadah.
Bagaimanapun katanya, semakan mendapati pemandu berkenaan mempunyai dua rekod saman lampau iaitu Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalulintas dan Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Pemandu lori ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor V. Kumarendran ditalian 017-5253136 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE