KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas motosikal jenis Yamaha Nmax ditungganginya dihempap pokok tumbang di Jalan Set 2/8, Setia Eco Templer, Selayang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu, pokok berkenaan turut menghempap sebuah lori jenis Isuzu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.19 petang.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 2.28 petang, sebelum mendapati seorang lelaki yang menunggang motosikal berkenaan tersepit dan tidak sedarkan diri.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan sebelum mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 2.35 petang.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, operasi mengalihkan pokok tumbang itu turut melibatkan enam anggota dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Light Operational Vehicle (LOV).
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku berdekatan Jalan Templer dari Rawang menghala ke Selayang pada petang ini.
Menerusi perkongsian video pengguna Threads mendakwa, kejadian pokok tumbang itu turut menimpa kenderaan seperti lori dan motosikal.
Ada pengguna Threads turut mendakwa, terdapat mangsa dalam kejadian tersebut.- KOSMO! ONLINE














