JOHOR BAHRU – Wanita PKR diminta menekuni dan memperjuangkan persiapan, dasar dan polisi Agenda Negara Menua susulan negara ini menuju ke arah negara menua menjelang 2030.
Ketuanya, Fadhlina Sidek berkata, beliau membangkitkan isu Agenda Negara Menua ini kerana Wanita PKR ketika ini bukan lagi parti biasa setelah menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Oleh itu, katanya, Wanita PKR perlu melihat dengan teliti Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial, yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen, Julai ini.
“Ini kerana negara menuju negara menua pada 2030, jadi kita perlu dipersiapkan juga susulan kalangan ahli Wanita PKR juga mencapai usia berkenaan.
“Sebagai parti, PKR tidak boleh terasing daripada dasar dan polisi negara, apatah lagi ia menjadi hasrat serta aspirasi parti untuk mendukung semua golongan rakyat,” katanya selepas menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Wanita PKR 2025 di Pusat Konvensyen Danga Bay, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE