MEKAH – Rutin berkumpul beramai-ramai adik-beradik bersama ipar duai setiap minggu atau dua minggu sekali di Kuala Terengganu nyata memberi ‘berkat’ apabila 10 daripadanya dijemput menjadi tetamu Allah ke Tanah Suci, tahun ini.
Dalam temu bual bersama 10 sekeluarga tersebut, mereka mengakui inisiatif abang sulung yang juga pesara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Hashim Awang, 69, yang gemar memasak untuk juadah berkumpul mengeratkan hubungan mereka sekeluarga.
Selain Hashim dan isteri, Ruhani Kassim, 65, empat adiknya berserta pasangan mereka turut menjadi dhuyufurrahman.
Mereka ialah adik kedua, Hassan, 67, dan isteri, Azizah Awang, 65; Endon, 61, dan suami, Mohamad Sor Ismail, 67; Sidek, 54, dan isteri, Dalina Suria Hamid, 46, serta Ismail Awang, 51, dan isteri, Zuranail Abdullah, 51.
Hashim berkata, memang menjadi impian mereka adik-beradik untuk ke Tanah Suci menunaikan rukun Islam kelima itu bersama-sama sejak mendaftarkan haji pada 2009 selain mereka pernah menunaikan umrah pada 2016.
“Saya cukup-cukup bersyukur kepada Allah SWT kerana dijemput bersama ahli keluarga berkumpul di Tanah Suci. Kami sudah bersama-sama sejak dari kecil, kalau boleh (mahu) makan bersama, ibadah bersama dan Alhamdulillah, buat haji sama-sama.
“(Di Kuala Terengganu) Setiap minggu kami berkumpul sekali, sekarang ini duduk tempat (maktab) sekali, naik kapal terbang sekali. Saya diamanahkan oleh arwah bapa (Awang Jusoh) untuk menjaga adik-adik sebelum dia meninggal dunia,” katanya pada sidang akhbar, di sini kelmarin.
Melihat kepada keakraban mereka, Hashim berkata, ibunya meninggal dunia ketika dia berusia lima tahun sebelum bapanya bernikah semula.
“Selepas bapa meninggal sayalah ayah, saya kawan buat adik-adik. Saya pun boleh ditegur oleh adik-adik andai ada salah dan silap,” katanya.
Sementara itu, Endon berkata, dia gembira apabila dijemput menjadi dhuyufurrahman dan lebih manis bersama suami dan adik-beradik lelakinya.
Ismail pula berkata, isteri abang sulungnya, Ruhani menyemak tawaran haji melalui THiJARI dan dia berjaya sebelum dimaklumkan kepada ahli keluarga lain.
“Bila lihat dalam THiJARI ada (tawaran). Selepas itu semua orang semak, masing-masing semak jadi yang dapat itu ‘merebak’.
“Lebih manis apabila semua tarikh sama, kapal terbang sama, tempat penginapan pun sama, balik pun sama. Apabila terima panggilan, semua duit tak cukup, carilah masing-masing sehingga cukup,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad Sor berkata, apabila berkumpul Hashim dan isteri yang kerap memasak juadah seperti nasi dagang, nasi minyak serta pelbagai menu lain.
“Kadang-kadang bila masa mahu berkumpul itu, rebus ubi kayu (menu) pun kami tetap berkumpul bersama. Alhamdulillah, keakraban hubungan keluarga ini terus berkekalan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE