KUALA LUMPUR – Pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 disifatkan sebagai keputusan tepat meskipun terdapat aduan awam mengenai kesesakan lalu lintas yang dijangka berlaku sepanjang tempoh penganjuran.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Kuala Lumpur dipilih sebagai tuan rumah bagi menonjolkan kemajuan, keindahan dan kedudukan bandar raya ini di persada antarabangsa.
“Ini adalah pilihan yang kami harapkan. Kami berharap dapat menyeronokkan tetamu-tetamu (Sidang Kemuncak ASEAN ke-46) kami.
“Ini adalah peluang untuk menunjukkan betapa banyak kemajuan yang telah kami lakukan (di Kuala Lumpur),” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau Pusat Media Antarabangsa Sidang Kemuncak ASEAN-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Tambah Fahmi, orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan lebih awal atau mengelakkan mengikuti laluan yang ditutup sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bermula minggu ini.
Terdahulu, sebanyak enam lebuh raya dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang akan ditutup secara berperingkat sempena persidangan itu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, penutupan jalan dilaksanakan bermula 23 hingga 28 Mei depan melibatkan laluan masuk dan keluar ke lokasi-lokasi utama khususnya ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Istana Negara dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – KOSMO! ONLINE