TELUK INTAN – Pemandu lori yang terlibat dalam nahas tragis mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) minggu lalu, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memindahkan dua ekor lembu curi.
Tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi berusia 45 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah memindahkan harta curi iaitu seekor lembu jantan berwarna hitam baka KK Cros dan seekor lembu jantan berwarna putih baka Brahman milik seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun daripada tempat asalnya di sebuah kebun dekat Kampung Keli Sungai, Hutan Melintang.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Kampung Kebun Baru, Hutan Melintang pada pukul 6 petang, 14 April 2025. Bagi pertuduhan ini, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan, penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan, manakala tertuduh pula diwakili peguam Mohd. Hafizudin Khan Norkhan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 16 Jun depan.
Menerusi laporan media semalam, Rudi Zulkarnain yang dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan, ditangkap semula bagi membantu siasatan kes curi lembu di Hutan Melintang, April lalu.
Tertuduh pada Jumaat lalu mengaku tidak bersalah di hadapan majistret sama bagi sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik pada 13 Mei 2025. – KOSMO! ONLINE