IMOLA, Itali – Ketua Pasukan Red Bull, Christian Horner menyifatkan kemenangan Max Verstappen dalam Grand Prix Emilia-Romagna sebagai bukti kekuatan dalaman pasukannya walaupun berdepan tekanan serta gangguan dari luar.
Verstappen tampil cemerlang dengan melakukan gerakan berani di selekoh pertama untuk memintas pendahulu perlumbaan dari McLaren, Oscar Piastri sebelum meninggalkan semua pencabar untuk mencatat kemenangan kedua musim ini.
“Sebagai satu pasukan, kami sangat kukuh. Walaupun ada banyak ‘suara sumbang’ dari luar, dalaman kami tetap tenang dan bersatu. Kejuruteraan kami juga hebat dengan beberapa komponen baharu diperkenal minggu ini.
“Pasukan kejuruteraan di Milton Keynes telah melakukan tugas yang cemerlang. Kami juga membawa beberapa komponen baharu hujung minggu ini. Sebab itu, ketua aerodinamik, Enrico Balbao diberi penghormatan naik ke podium kerana usaha keras di sebalik tabir,” kata Horner.
Turut mencuri tumpuan ialah Yuki Tsunoda yang bangkit daripada bermula di lorong pit untuk menamatkan saingan di tempat ke-10.
Horner mendedahkan bahawa kru pasukan bekerja sehingga lebih jam 2 pagi pada Ahad untuk membina semula jentera Tsunoda selepas terlibat dalam insiden kemalangan ketika sesi kelayakan.
Tambah Horner, tumpuan Red Bull kini sepenuhnya ke arah memburu kejuaraan pemandu musim ini selepas Verstappen kini hanya 22 mata di belakang Piastri. – AGENSI