KAJANG – Sebuah lori kayu dipercayai hilang kawalan sebelum muatannya menghempap sebuah kenderaan lain di Jalan Bangi Lama, di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 4.15 petang dan ketika kejadian, pemandu lori berusia 34 tahun itu gagal mengawal kenderaannya sehingga terbalik memasuki ke laluan bertentangan.
“Kejadian itu menyebabkan muatan kayu daripada lori berkenaan terjatuh lalu menghempap sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu wanita berusia 22 tahun.
“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kedua-dua pihak telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang keesokan harinya untuk membuat laporan.
Jelasnya, pemandu lori berkenaan dikenakan saman dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.
Terdahulu, tular sebuah video kamera papan pemuka yang memaparkan detik cemas seorang wanita apabila keretanya dihempap kayu muatan lori terbabit.
Dalam video terbabit, kelihatan lori tersebut gagal mengawal kenderaannya ketika melalui selekoh tajam sebelum muatan kayu jatuh.
Kelihatan mangsa di dalam video itu menjerit serta meraung kesakitan akibat impak daripada muatan kayu yang jatuh daripada lori tersebut. – KOSMO! ONLINE