fbpx
Bonus tahunan menjadi motivasi buat pekerja.

Bonus, pembakar semangat atau pemusnah motivasi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI kebanyakan pekerja, menerima bonus adalah perkara yang dinanti-nantikan setiap tahun.

Begitu pun, sejauh mana bonus boleh meningkatkan semangat dan prestasi pekerja? Jika jumlah yang diterima tidak seperti diharapkan, adakah ia menimbulkan kekecewaan?

Menurut Ahli Psikologi Industri dan Organisasi yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Riadah Taylor’s University, Affezah Ali, bonus bukan sekadar imbuhan kewangan, sebaliknya ukuran sejauh mana mereka dihargai majikan.

“Jika bonus yang diberikan tidak adil atau tidak setimpal dengan usaha, semangat kerja boleh terjejas.

“Fenomena ini dikenali sebagai ‘kesan kontras’ yang mana pekerja yang mempunyai jangkaan tinggi berdasarkan sejarah bonus, pujian majikan atau penanda aras industri akan melihat bonus yang lebih rendah daripada jangkaan sebagai satu bentuk ‘kerugian’, walaupun nilainya masih signifikan.

“Akibatnya, motivasi mereka boleh menurun dan kepercayaan terhadap majikan turut terhakis,” katanya.

Ujarnya, di Malaysia yang mengamalkan budaya kolektivis, bonus bukan sekadar ganjaran untuk individu, tetapi dianggap sebagai sumber pendapatan tambahan yang menyumbang kepada kesejahteraan keluarga.

“Bagi ramai pekerja, bonus melangkaui kepentingan peribadi dan menjadi simbol kestabilan serta sokongan kepada ahli keluarga.

“Berbeza dengan negara seperti Amerika Syarikat yang lebih berorientasikan budaya individualistik, bonus di sana lebih dilihat sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian peribadi dengan penekanan pada keadilan dan ketelusan dalam pengagihan.

“Oleh itu, di Malaysia, bonus bukan sekadar insentif tambahan, tetapi satu elemen penting yang memberi impak besar terhadap kehidupan pekerja dan keluarga,” katanya.

Affezah turut menekankan walaupun bonus boleh meningkatkan produktiviti dalam jangka pendek, kesan jangka panjangnya boleh menjadi lebih kompleks.

Ada pekerja yang mengalami ‘bonus hangover’ yang mana motivasi mereka melonjak apabila menerima bonus, namun merosot dengan mendadak selepas itu.

“Jika bonus dijadikan pendorong utama, motivasi atau minat dan kepuasan dalam kerja boleh merosot.

“Jika ini berlaku, kreativiti dan inisiatif dalam kalangan pekerja akan semakin berkurang,” katanya.

Bagi menjadikan bonus sebagai alat motivasi yang efektif, organisasi perlu memastikan ketelusan dalam sistem pemberian bonus.

Menurutnya, pekerja pula harus memahami dengan jelas bagaimana bonus mereka dikira, sama ada berdasarkan prestasi individu, kejayaan pasukan atau keuntungan syarikat.

Katanya, sebagai majikan, ingatlah bahawa bonus bukan sekadar angka di atas kertas.

“Ia mencerminkan penghargaan terhadap usaha pekerja, melambangkan kepercayaan yang dibina dan menjadi tanda penghormatan serta pengiktirafan bersama.

“Jika dirancang dan dilaksanakan dengan telus serta adil, bonus dapat menyemarakkan semangat kerja, meningkatkan kepuasan, serta mengekalkan kesetiaan tenaga kerja yang bersedia untuk mencapai kejayaan lebih besar bersama organisasi,” kata Affezah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN