BATU PAHAT – Seorang pengurus sebuah restoran makanan segera dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul remaja perempuan ketika sesi temu duga, Jumaat lalu.
Tertuduh, Mohd. Sallehudin Roslie, 32, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan jurubahasa sebelum Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman denda RM3,500 terhadapnya.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh bulan jika gagal membayar denda itu. Tertuduh membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa dengan sengaja melakukan kekerasan jenayah mencabul kehormatan mangsa berusia 19 tahun di sebuah restoran makanan segera dalam daerah ini.
Perbuatan itu dilakukan di antara pukul 8.30 hingga 9.30 malam pada 16 Mei lalu dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Berdasarkan fakta kes, mangsa datang ke premis itu untuk mencari pekerjaan sebelum dipelawa masuk tertuduh untuk menjalani sesi temu duga.
Sebaik selesai temu duga, tertuduh mengambil kesempatan menyentuh tangan serta memeluk mangsa. Pada masa sama tertuduh, memesan agar mangsa tidak menceritakan kepada sesiapa pun.
Perbuatan tertuduh dirakam melalui televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis terbabit.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd. Sharif dan Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Normaahani Rais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). – KOSMO! ONLINE