LANGKAWI – Kementerian Pertahanan akan meneliti laporan kes kerosakan tingkap dan siling rumah penduduk di sebuah kampung di sini yang didakwa akibat gegaran daripada sesi latihan pertunjukan udara semalam.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya tidak akan mengabaikan perkara itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya.
“Perkara itu kita akan tengok dan tidak akan abaikan. Ia sepatutnya tidak ada apa-apa tetapi mungkin (atas sebab tertentu), tak apa nanti kita kaji.
“Ada masa-masanya mungkin ada kesan,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau persiapan LIMA’25 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resorts World Langkawi (RWL), di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kerosakan pada tingkap dan siling beberapa rumah yang dikatakan berpunca daripada gegaran sesi latihan sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Kosmo! semalam melaporkan kira-kira lima rumah mengalami kerosakan dipercayai akibat gegaran berpunca daripada latihan pertunjukan udara sempena LIMA’25.
Tinjauan yang dilakukan di Kampung Padang Wahid, di sini mendapati tingkap dan siling rumah di situ pecah dan retak. – KOSMO! ONLINE