JOHOR BAHRU – Seorang tukang masak bimbang akan keselamatan keluarganya apabila menjadi ancaman individu yang menyamar sebagai pekerja syarikat pinjaman kredit.
Mangsa dikenali sebagai Kai, 41, berkata, dia menerima satu mesej menerusi WhatsApp daripada seorang lelaki yang menawarkan pinjaman peribadi, pada 5 Mei lalu.
Bapa kepada dua anak itu menjelaskan dia tidak mahu membuat pinjaman sebaliknya mahu memohon kad kredit dan telah menyerahkan maklumat peribadinya kepada individu terbabit.
“Namun pada 8 Mei lalu, lelaki tersebut telah memindahkan wang sebanyak RM600 ke akaun bank saya dan menyatakan wang itu adalah pinjaman peribadi tanpa persetujuan saya.
“Apabila saya mahu pulangkan semula amaun tersebut, mereka menuntut bayaran dua kali ganda dan meminta saya bayar sebanyak RM1,200,” katanya pada sidang akhbar di Kelab Akhbar Cina di Taman Maju Jaya, di sini.
Bagaimanapun, Kai hanya mangabaikan arahan lelaki itu dan memulangkan semula duit berjumlah RM600 ke akaun bank suspek.
“Suspek turut mengancam keselamatan saya dan keluarga dengan menghantar video kejadian simbah cat dan bakar rumah kepada saya, mereka ugut lakukan perkara itu kepada rumah saya serta ahli keluarga saya jika tidak buat bayaran tambahan.
“Saya tidak lagi mahu berurusan dengan lelaki itu dan telah ‘block’ (sekat) nombor telefonnya,” katanya yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Nusa Bestari, Skudai, 9 Mei lalu.
Dia yang bekerja di Singapura itu mula bimbang apabila suspek terus menghubungi isterinya untuk membuat ugutan sejak 13 Mei lalu sebelum tampil membuat aduan kepada pihak MCA Johor. -KOSMO! ONLINE