fbpx

‘Saya mahu balas jasa mak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SOFIAH (kanan) yang merupakan bekas pesakit kanser payudara tahap dua menerima kucupan daripada anak tunggalnya ketika ditemui di Abraj Al Janadriyah, Mekah baru-baru ini.

MEKAH – Seorang wanita warga emas berjalan perlahan-lahan dengan sesekali berhenti seketika mengambil nafas, manakala seorang pemuda di hadapannya turut berhenti menoleh dan bertanya dengan lemah lembut ‘Mak okay?’ dan bersama-sama menuju ke kafe di aras G, Abraj Al Janadriyah, di sini.

Sesekali pemuda berketinggian kira-kira 1.7 meter tersebut menuntun tangan wanita lebih separuh abad itu sebelum mereka duduk di kerusi berhampiran tiang di hadapan kafe.

Melihat layanan penuh ihsan lelaki muda itu boleh disimpulkan pasangan itu merupakan seorang ibu dan anaknya yang menjadi pengiring untuk jemaah haji lanjut usia.

Kebetulan duduk di meja berhampiran pasangan ibu dan anak itu adalah sekumpulan petugas media Tabung Haji (TH), sebelum wakil agensi berita Bernama, Nurliyana Farhah Ruslan meminta izin untuk menemu bual mereka.

Pembantu Tadbir Hospital Sultanah Bahiyah, Mohd. Rodzi Che Noh, 38, mengiyakan dia menjadi pengiring ibunya, Sofiah Talib, 76, yang berasal dari Kampung Dalam Kota, Mukim Lepai, Alor Setar.

“Apa yang mak impikan, saya cuba penuhi,” demikian ujar Mohd. Rodzi membuka bicara selain memberitahu bahawa ibunya itu adalah merupakan bekas pesakit kanser payudara tahap dua.

Kata bapa dua anak itu, ibunya dikesan menghidap kanser empat tahun lalu sebelum payudara sebelah kanan sudah ‘dibuang’ bagi mengelakkan ia merebak ke organ lain.

“Selain itu, mak pernah menerima panggilan haji pada 2022, namun terpaksa pula ditolak berikutan faktor kesihatan ayah, Che Noh Hamid ketika itu. Ayah meninggal dunia setahun kemudian pada usia 95 tahun.

“Kalau diikutkan mak, ayah serta bapa dan ibu saudara sudah berjanji untuk menunaikan haji bersama-sama. Apakan daya hasrat besar mak tertunda atas faktor tersebut.

“Jadi kali ini apabila terima panggilan, saya fikir impian mak adalah impian saya. Satu perkara sahaja dalam pemikiran, saya mahu balas jasa mak,” ujarnya yang gagal menahan sebak ketika ditemu bual baru-baru ini.

Mengingat kembali jerih perih Sofiah membesarkannya tanpa pernah mengeluh, ujar Mohd. Rodzi, meskipun faktor usia lanjut sedikit sebanyak membataskan pergerakan ibunya, dia berazam untuk memastikan ibadah haji insan kesayangan itu dikerjakan sesempurna mungkin.

“Mak kuat semangat, lagi pun dia sudah menyimpan duit haji sejak usia 45 tahun lagi. Mak suri rumah, jadi duit bendang diusahakan ayah sikit-sikit dia simpan untuk ke Tanah Suci.

“Ayah dikurniakan enam orang anak melalui pernikahan terdahulu, dan saya anak ketujuh dan merupakan satu-satunya anak mak. Di Alor Setar pun rumah saya hanya sebelah rumah mak, senang untuk jenguk dia setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Sofiah berkata, pengalaman diserang kanser nyaris-nyaris menguburkan terus hasratnya menjadi dhuyufurrahman.

“Sakit di bahagian dada mula-mula saya ingat sakit biasa. Saya sapu minyak angin sahaja sebelum ketumbuhan itu menjadi sebesar duit 50 sen. Bagi mengelakkan mengancam nyawa saya jalani pembedahan, syukur tiada sel kanser yang melarat,” katanya.

Ujarnya, selain berasa amat bersyukur kerana menjadi tetamu Allah kali ini dia juga terharu kerana mempunyai seorang anak yang penyayang dalam menyantuninya.

“Syukur… syukur sangat. Kalau tak ada anak saya ini, tak tahu saya mampu datang atau tidak. Saya sakit, tak kuat jalan… dia tolong semua. Dia yang bawa saya ke sini. Terima kasih banyak,” luahnya kepada Mohd. Rodzi dengan disaksikan wartawan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI