BEREGU wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah menamatkan penantian selama lapan bulan untuk meraih gelaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nimibutr, Bangkok semalam, pasangan No. 4 dunia itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan beregu Korea Selatan, Jeong Na- eun-Lee Yeon-woo menerusi aksi straight set 21-16, 21-17.
Turun sebagai pilihan utama kejohanan, tekanan pastinya terarah kepada Pearly-Thinaah berdepan lawan yang menghuni ranking ke-105 dunia itu, namun mereka kekal fokus sebelum menang dalam tempoh 58 minit.
Thinaah berkata, kemenangan itu cukup bermakna buat dia dan Pearly memandangkan mereka memulakan saingan musim ini dengan agak hambar apabila tersingkir seawal pusingan pertama pada Terbuka Malaysia Januari lalu.
“Memang kemenangan ini sangat bermakna kerana kami tidak bermula baik apabila kalah di pusingan pertama Terbuka Malaysia. Bagaimanapun, kami tidak pernah hilang kepercayaan terhadap satu sama lain.
“Terima kasih kepada pasangan (Pearly) kerana sentiasa ada bersama saya. Kemenangan ini cukup penting untuk kami terus bergerak ke hadapan tetapi selepas ini, akan bermula dari kosong semula,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Selaku juara, Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM161,207) beserta pingat dan trofi manakala Na Eun-Yeon Woo berpuas hati dengan AS$18,050 (RM77,542) dan trofi.
Sementara itu, gelaran itu juga merupakan sejarah baharu buat sukan badminton negara apabila Pearly-Thinaah menjadi beregu wanita pertama Malaysia yang memenangi Terbuka Thailand.
Sebagai rekod, ia merupakan gelaran pertama mereka tahun ini dan dalam tempoh lapan bulan selepas kali terakhir muncul juara ketika memenangi kejohanan Terbuka Hong Kong September tahun lalu.