LANGKAWI – Bahang Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) semakin terasa apabila ribuan orang sudah memenuhi sekitar lokasi penganjuran acara tersebut untuk melihat sesi latihan udara pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Mereka tidak melepaskan peluang menyaksikan latihan ‘opening gambit’ melibatkan 33 pesawat TUDM antaranya jet pejuang Sukhoi Su-30MKM, F/A-18D Hornet dan Hawk, pesawat pengangkut jenis A400M dan C-130 Hercules serta helikopter EC-725, AW-139 dan EC120B.
Orang ramai yang kebanyakannya penduduk tempatan serta sebahagian pelancong yang masuk awal bagi menyertai LIMA’25 kelihatan teruja dengan aksi hebat pesawat dengan simulasi letupan bom.
Penduduk Kuah, Azila Ahmad, 33, berkata, dia membawa anak lelakinya berusia 10 tahun untuk menyaksikan sesi latihan persembahan pesawat TUDM sempena LIMA’25 ini yang berlangsung selama hari bermula Selasa ini.
“Dua kali setahun sahaja ada acara antarabangsa ini, memang seronok bila tengok anak teruja menonton aksi jet pejuang dan helikopter masa buat persembahan pembukaan.
“Ada juga sesi latihan pesawat dari Indonesia yang buat latihan aerobatik. Memang meriah Langkawi bila LIMA ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, dia sudah membeli tiket masuk ke LIMA’25 dan mahu bawa anaknya itu melihat lebih dekat pesawat-pesawat hebat yang akan dipamerkan nanti.
Pekerja swasta dari Alor Setar, Khairul Azhar Abidin, 26, berkata, dia masuk ke Langkawi pada semalam dan melihat orang ramai sudah memenuhi lokasi penganjuran terutama sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL).
“Bila tengok orang dah ramai dan dengar bunyi deruman jet pejuang, terus rasa tak sabar nak tunggu hari sebenar penganjuran, jadi saya datang ke sini tengok sesi latihan,” ujarnya.
Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Facebook memaklumkan bahawa kesemua pesawat telah diatur gerak khas oleh TUDM bagi menyajikan aksi persembahan yang bakal memukau pengunjung tempatan dan antarabangsa yang hadir.
Selain segmen udara, segmen maritim berlangsung di Resorts World Langkawi melibatkan gabungan koordinasi enam agensi keselamatan negara iaitu TLDM, Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Perikanan Malaysia.
Demonstrasi berkenaan memperlihatkan keupayaan serta kerjasama strategik antara agensi dalam menghadapi ancaman keselamatan maritim. – KOSMO! ONLINE