KANGAR – Anak kepada mangsa kemalangan maut meluahkan rasa terkilan apabila hari lahir ibunya bertukar menjadi majlis pengebumian selepas wanita itu meninggal dunia dalam kemalangan di Padang Besar, semalam.
Anak sulung mangsa, Airil Daniel Afifi Rosshafaril, 18, berkata, ibunya, Patcharee Nunim, 34, merupakan seorang yang cukup sempurna, penyayang dan sangat mengambil berat terhadap keluarga.
“Ibu dalam perjalanan pulang selepas membeli kelengkapan sukan untuk adik bongsu yang sepatutnya bertolak ke Johor hari ini bagi mewakili Perlis dalam kejohanan fresbie.
“Saya agak terkilan kerana kemalangan ini berlaku sehari sebelum sambutan hari lahir ibu hari ini,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini hari ini.
Semalam, seorang wanita warga Thailand, Patcharee Nunim maut manakala anak lelakinya cedera dalam kemalangan selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung dengan sebuah treler berhampiran persimpangan lampu isyarat di bawah jejambat Padang Besar.