PORT DICKSON – Siasatan kes seorang anggota tentera berpangkat sarjan yang disyaki mencabul seorang pelajar tingkatan satu di Melaka baru-baru ini, diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis.
Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap apa jua tindakan yang boleh mencemarkan nama baik perkhidmatan.
Menurut beliau, pihaknya hanya akan mengambil tindakan ke atas anggota terbabit bergantung kepada hasil siasatan atau keputusan dakwaan tersebut di peringkat sepatutnya.
“Kes ini masih dalam siasatan polis. Anggota masih dalam tahanan reman polis, hari ini hari keempat dan dijangka reman hingga 20 Mei ini.
“Kita akan tengok apa tindakan lanjut oleh pihak polis, apa pun kita akan ambil tindakan lanjut di pihak tentera juga di atas salah laku yang dibuat jika terbukti satu kesalahan,” katanya selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Lelaki Siri 202/2024 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.
Pada 14 Mei lalu, media melaporkan seorang anggota tentera direman tujuh hari kerana disyaki mencabul seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah berasrama penuh.-KOSMO! ONLINE