SHAH ALAM – Sejumlah RM10.3 bilion pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional telah diluluskan dalam membantu lebih 600,000 usahawan seluruh negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, kelulusan itu diberikan sejak penubuhan Tekun Nasional pada 1998 hingga tahun ini bagi menyokong pertumbuhan sektor mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara.
Katanya, berdasarkan rekod sebanyak RM252 juta telah disalurkan kepada 11,698 usahawan kepada setakat 30 April lalu.
“Kita komited untuk terus memperkukuhkan ekosistem keusahawanan yang inklusif dan mampan.
“Usaha Tekun menyediakan platform pembiayaan mikro yang mudah dan berpatutan adalah antara tongak utama dalam memperkasakan usahawan kecil,” katanya selepas merasmikan Seminar Asas Usahawan Tekun Nasional di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan, kursus atau latihan yang disediakan Tekun Nasional termasuk program Empowering Indian Entrepreneurs (EIP) adalah bertujuan memantapkan lagi kemahiran pengurusan dan perniagaan mereka.
“Banyak kita lihat peniaga mereka tahu menguruskan dan buat perniagaan tetapi isu yang dihadapi dari segi mendapatkan penjimatan dalam perniagaan mereka.
“Ini termasuk dari kos logistik, tempahan barangan, tenaga kerja, elektrik dan bagaimana boleh buat pengauditan yang betul dengan mereka boleh menjana penjimatan lebih tinggi,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, program EIP ini dijangka memberi manfaat besar kepada usahawan India dalam memastikan perniagaan lebih teratur dan berdaya saing di pasaran. – KOSMO! ONLINE