PETALING JAYA – Tindakan pelakon Puteri Balqis memborong semua buah-buahan jualan seorang remaja lelaki di jalanan mencuri perhatian ramai sehingga mengundang air mata netizen.
Perkongsian dalam Instagram miliknya memaparkan momen ketika Balqis atau nama sebenarnya Puteri Balqis Azizi, 18, terserempak dengan remaja dikenali sebagai Khairul yang menjual buah demi membantu ibunya mencari rezeki.
“Saya jalan-jalan dekat sini dan nampak adik Khairul jual buah untuk tolong ibu dia.
“Hari ini saya nak beli semua stok buah-buahan dia.
“Saya nampak diri saya dalam diri adik Khairul.
“Dahulu, kami juga pernah berada di tempat kamu,” katanya.
Video tersebut kemudian tular dan mendapat pelbagai reaksi positif daripada netizen yang rata-rata memuji sikap mulia pelakon itu yang sebelum ini juga pernah berdepan kesusahan hidup.
“Dia pernah hidup susah, sebab itu dia mudah tersentuh. Hati dia bersih dan jujur,” komen seorang pengikut.
“Semoga Allah lipat gandakan rezeki Aqish. Dia selalu bantu orang tanpa kira waktu,” tulis pengguna media sosial.
“Saya menangis tengok video itu. Dalam dunia penuh kepalsuan, masih ada insan sebaik dia,” tambah seorang lagi netizen.
Bukan sekali, pelakon Keluarga Itu itu sering memaparkan sisi empati terhadap golongan memerlukan.
Terdahulu, Aqish pernah pernah menyambut Aidilfitri bersama gelandangan sekitar ibu kota malah mengakui rutin tersebut menjadi sebahagian daripada cara dirinya mensyukuri hidup dan mendekati sisi lain kehidupan manusia.– KOSMO! ONLINE