TELUK INTAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih selamat melibatkan penugasan anggota termasuk ketika pergerakan secara konvoi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, SOP itu akan dikemukakan dalam masa terdekat selepas perbincangan diadakan bersama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).
“Saya sudah bercakap dengan Pengarah KDNKA untuk melihat semula konvoi penugasan bukan sahaja untuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), tetapi Pasukan Gerakan Am (PGA), pengawal pengiring serta kenderaan membawa anak-anak polis ke sekolah.
“Dalam masa terdekat ini mungkin kita akan bentangkan SOP atau cadangan yang terbaik untuk anggota bertugas.
“Insya-Allah, jawatankuasa tertinggi KDNKA dan saya akan membincangkan perkara ini,” katanya selepas melawat anggota yang cedera dalam nahas melibatkan trak FRU di Hospital Teluk Intan, di sini hari ini.
Menurut Razarudin, antara cadangan awal yang sedang diteliti termasuk penyediaan bas bagi menggantikan trak pengangkut dalam penugasan berskala besar.
Bagi aspek kebajikan, beliau memberi jaminan PDRM akan memastikan segala bentuk sokongan yang diperlukan oleh mangsa dan keluarga akan diberikan tumpuan.
Katanya, perkara itu termasuk menguruskan insurans dan pampasan kematian bagi keluarga anggota yang terkorban dalam usaha meringankan beban mereka. – KOSMO! ONLINE