GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang telah mengenal pasti ahli sindiket yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penjenayah bersenjata yang ditembak mati di Jalan Lintang Bukit Jambul, semalam.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, suspek yang berusia 35 tahun itu dipercayai merupakan ketua kumpulan penjenayah yang aktif melakukan pelbagai jenayah.
“Kes ini buat masa ini telah selesai, namun risikan sedang diperkemaskan bagi mengenal pasti dan menjejaki saki baki anggota sindiket yang masih bebas.
“Suspek yang ditembak semalam merupakan ketua penjenayah geng tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Plis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.05 pagi semalam, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang yang sedang menjalankan operasi cegah jenayah telah menahan sebuah kereta BMW yang dipandu suspek.
Namun, suspek bertindak agresif dengan melepaskan tembakan ke arah pasukan polis setelah mereka memperkenalkan diri.
Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai sebanyak 34 rekod jenayah dan dadah, menjadikannya antara individu paling dikehendaki di negeri ini. – KOSMO! ONLINE