LONDON – Manchester City akan dilanda malapetaka sekiranya gagal menewaskan Crystal Palace pada aksi final Piala FA di Stadium Wembley malam ini.
Perhitungan itu adalah peluang terakhir buat The Citizens yang dihimpit prestasi kurang baik sepanjang musim ini termasuk gagal mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berjaya dimenangi oleh Liverpool.
“Di sebalik musim yang mengerikan, kami masih ada perlawanan akhir Piala FA untuk dimainkan. Adalah tidak bagus apabila kami tewas dalam banyak perlawanan dan ia akan menjadikan musim kami agak membosankan.
“Kelab ini menetapkan penanda aras yang cukup tinggi, jadi apa yang berlaku kali ini adalah malapetaka. Kami akan mencari jalan untuk cuba menghasilkan sesuatu yang lebih baik,” kata penyerang City, Erling Haaland.
Dalam masa sama, Haaland juga memberi ingatan bahawa City tidak boleh mencari alasan di atas pelbagai kegagalan yang dihadapi pasukan musim ini.
Tidak hanya mahu mengelak daripada gagal meraih sebarang trofi, kejayaan Piala FA juga dilihat cukup penting untuk dijadikan penutup sempurna buat Kevin De Bruyne yang mengambil keputusan tidak lagi bersama pasukan musim depan.
Haaland menjelaskan, semua pemain harus melakukan apa sahaja untuk memberikan penutup sempurna buat De Bruyne yang selama ini sudah memainkan peranan besar menghadirkan pelbagai kejayaan buat The Citizens.
“Memenangi Piala FA menjadi sesuatu yang cukup hebat buat kami dan saya akan cuba untuk merealisasikannya. Kami mahu Kevin menamatkan kariernya di sini dengan satu lagi piala.
“Dia memiliki tempoh yang luar biasa di sini dan jumlah trofi dimenanginya juga agak tidak masuk akal,” kata Haaland. – AGENSI