PASUKAN regu sepak takraw negara menamatkan penantian dengan penuh bergaya apabila mudah menundukkan musuh ketat, Thailand 2-0 dalam aksi final acara itu di pentas Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa kelmarin.
Kejayaan berprestij itu bukan sahaja mengukuhkan reputasi trio negara, Syahir Rosdi (tekong), Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) sebagai regu terbaik Asia, malah meniup semangat kem negara untuk menamatkan penantian 34 tahun dalam acara berpasukan.
Jurulatih negara, Ahmad Mohd. Zin berbangga dengan persembahan anak-anak buahnya mempamerkan disiplin tinggi serta strategi berkesan bagi mengekang trio emas Thailand yang diketuai Sittipong Khamchan.
“Syukur Alhamdulillah, ini kemenangan besar buat negara. Pemain mengikut taktikal, jaga bola pertama dengan baik dan beri tekanan kepada tekong Thailand sejak awal.
“Pemain juga kurang melakukan kesilapan dan ia menjadi detik kebangkitan, malah turut mengekang asakan trio emas Thailand yang diketuai Sittipong,” katanya.
Ia juga gelaran kedua dimenangi Malaysia di pentas Piala Asia 2025 selepas berjaya menjuarai kuadran selepas skuad double negara dikecewakan Thailand dalam aksi final sebelum ini.
Kini, tumpuan mereka beralih kepada acara berpasukan dan Ahmad percaya momentum kemenangan itu akan memberi impak besar buat pasukan kebangsaan.
“Semua menunjukkan prestasi cemerlang dan beri mata mudah. Jadi tak perlu buat pertukaran. Syahir servis dengan baik, Farhan kawal bola kemas dan Azlan pula agresif di jaring.
“Thailand memang kuat dari segi perang saraf, tapi pemain kita berjaya kekal fokus dan yakin sepanjang perlawanan.
“Saya yakin kemenangan ini suntik semangat untuk kita hadapi acara seterusnya. Pemain kita bersedia dan akan terus cipta kejayaan dalam acara berpasukan,” katanya.
Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara berpasukan di pentas utama sewaktu Sukan SEA 1991 di Manila, Filipina dan kini harapan kembali menyala untuk menamatkan penantian 34 tahun itu.