fbpx
Ramai menggunakan AI bagi menghilangkan kesunyian.

Bukan semua perkara boleh rujuk AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ini, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT boleh dianggap sebagai antara keperluan utama dalam membantu memudahkan urusan harian seseorang individu.

Aplikasi AI bukan sahaja memudahkan seseorang individu menyiapkan tugasan yang diberi, malah keupayaan teknologi itu memberikan pelbagai pandangan termasuk soal kehidupan menjadikan ia sebagai medium rujukan utama.

Tidak dinafikan, ada segelintir individu sentiasa bergantung harap dengan AI dalam membuat sesuatu keputusan, sekali gus dilihat bakal memberi impak negatif dalam jangka masa panjang.

Dalam konteks ini, kebergantungan berlebihan kepada AI dijangka memberi risiko tekanan psikologi dan emosi kepada seseorang apabila gagal membuat keputusan secara sendiri.

Kesan emosi ini merentasi pelbagai lapisan termasuk pelajar, warga emas dan golongan pekerja.

Memberi contoh kepada kesan itu, pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya, Prof. Ir. Dr. Chan Chee Seng berkata, generasi Z dan Alpha kini membesar dalam persekitaran digital yang sarat dengan kehadiran AI.

Katanya, mereka kerap menggunakan teknologi seperti ChatGPT untuk menyiapkan tugasan sekolah serta berinteraksi di media sosial yang dipacu algoritma pintar.

“Walaupun AI membantu proses pembelajaran, kebergantungan berlebihan boleh menjejaskan kemahiran berfikir kritikal dan keupayaan membuat keputusan sendiri.

“Apabila algoritma terbentuk elemen citarasa, pendapat dan persepsi kendiri pelajar mungkin mengalami krisis identiti serta rasa tidak yakin terhadap kemampuan diri,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sebagai contoh, seorang pelajar sekolah menengah yang terlalu bergantung pada AI untuk menyiapkan karangan mungkin gagal menunjukkan prestasi sebenar dalam peperiksaan bertulis, sekali gus mencetuskan tekanan dan rasa kecewa.

Katanya, warga emas pekerja lanjut usia turut menghadapi cabaran besar dalam menyesuaikan diri dengan kepesatan teknologi itu.

“Peralihan ke arah sistem digital berasaskan AI termasuk e-perkhidmatan, automasi kerja dan platform dalam talian menyebabkan rasa tersisih dan ketinggalan, terutamanya bagi mereka yang tidak celik digital.

“Perasaan tidak relevan dalam organisasi dan kehilangan peranan bermakna boleh menjejaskan harga diri serta kesejahteraan emosi,” katanya.

Susulan itu, jelas beliau, pengguna perlu meningkatkan literasi AI serta penyediaan latihan yang berterusan dan relevan.

“Sebagai contoh, pekerja perlu diberikan kefahaman yang jelas tentang cara AI berfungsi termasuk batasan dan potensi sebenar teknologi ini.

“Latihan berstruktur bukan sahaja membantu mengurangkan ketidakpastian, tetapi juga membina keyakinan untuk menggunakan AI secara bertanggungjawab dan produktif,” katanya.

Katanya, pemahaman terhadap AI membolehkan pengguna bersedia untuk berinteraksi secara aktif dan kritikal, bukan sekadar bergantung secara pasif kepada output sistem.

“Mereka juga dapat mengenal pasti situasi di mana teknologi boleh memberikan nilai tambah dan bila dicampur tangan manusia, ia masih diperlukan untuk menjamin ketepatan, konteks dan pertimbangan etika,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN