KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun melakukan beberapa rombakan kecil dalam acara berpasukan menjelang pertembungan dengan Jepun dan Korea Selatan dalam aksi peringkat kumpulan Piala Asia Kuala Lumpur 2025.
Walaupun Malaysia meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Brunei pada aksi peringkat Kumpulan B namun, Ahmad Jais ia bukan tiket jaminan untuk kekal selesa.
Tegasnya, ketika ini barisan pemain negara dalam keletihan terutama mencipta kemenangan dalam acara regu dengan menumbangkan Thailand 2-0 di pentas final di Stadium Titiwangsa, malam tadi.
“Selepas kemenangan ke atas Brunei, saya lihat ada beberapa kelemahan yang kita perlu baiki untuk memantapkan lagi permainan pasukan.
“Pemain juga tidak banyak berehat, jadi kita akan menyusun semula barisan pemain dan lakukan sedikit rombakan agar mereka semua dapat peluang bermain sewaktu bertemu Jepun dan Korea,” katanya.

Katanya, perubahan yang dirancang itu juga sebahagian daripada strategi dalam usaha mengekalkan kecergasan sehingga ke pentas final.
“Kita ada 12 pemain dalam skuad kali ini dan semuanya berada dalam prestasi baik. Jadi ini masa terbaik untuk uji kekuatan di semua posisi, terutama menghadapi lawan terkuat Asia ,” ujarnya.
Ahmad turut memberi amaran agar pemain tidak mengambil mudah cabaran daripada Korea Selatan dan Jepun kerana kedua-dua pasukan itu kini menampilkan peningkatan prestasi yang sangat ketara.
“Mereka mungkin bukan pencabar tradisi seperti Thailand atau Indonesia, tetapi kita tahu Jepun dan Korea Selatan sudah mula menyusun sistem latihan yang moden dan agresif. Jadi, kita perlu berhati-hati,” tambahnya.
Malaysia dijadualkan menentang Jepun malam ini sebelum melengkapkan aksi peringkat kumpulan bertemu Korea petang esok. -KOSMO! ONLINE