fbpx
Bot penambang menjadi pengangkutan utama bagi guru yang ditempatkan mengajar di sekolah pedalaman Ulu Tembeling sebelum 2010 - GAMBAR HIASAN

Guru imbau ‘takut’ naik bot penambang rentas Sungai Tembeling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERANTUT – Bergelar seorang guru bukan sahaja menuntut kesabaran untuk mendidik anak bangsa, tetapi juga memerlukan pengorbanan tinggi terutama bagi mereka yang ditugaskan ke kawasan terpencil dan luar bandar.

Bagi guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pagi, Khairul ­Azuan Muhamad, 42, dia mengakui pengalaman pertama kali menaiki bot penambang selama 45 minit di jeti Kampung Kuala Tahan pada 16 tahun lalu merupakan antara perkara paling sukar dilupakan sehingga kini.

Katanya, situasi ketika itu menuntut dirinya untuk lebih cekal dan memberanikan diri melalui jeram dan arus sungai yang sangat deras.

“Masa mula-mula naik bot tersebut, pengendali bot memberi arahan supaya saya bersedia untuk menempuh perjalanan selama 45 minit dengan bayaran sebanyak RM10.

“Antara mahu atau tidak, saya mengikut arahan dengan mengisi beg pakaian ke dalam bot dan mengambil tempat duduk dalam ke­adaan bot terhuyung-hayang dipukul arus sungai.

“Pada mulanya saya berat hati dan takut sebab belum pernah menaiki bot penambang di Sungai Tembeling,” katanya ketika ditemui di Kampung Pagi, Ulu Tembeling di sini semalam.

Bagaimanapun, menurut Khairul Azuan, sekalipun pengalaman itu sangat menakutkan, namun dia tetap berbangga apabila berjaya mengharungi kehidupan sebagai guru untuk memberi ilmu kepada anak-anak di luar bandar.

“Kehidupan selama 16 tahun di Kampung Pagi diharungi dalam keadaan menyeronokkan kerana masyarakat di sini sentiasa mengambil berat serta prihatin dengan orang luar seperti kebanyakan guru yang datang bersilih ganti di situ.

“Saya masih mengajar di sini dan berulang alik berjumpa isteri dan tiga orang anak di Kampung Aril, Melor, Kota Bharu, Kelantan sebulan dua kali.

“Saya juga belum merancang untuk kembali bertugas di kampung halaman,” kata bekas gra­duan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu,
Ketika ini katanya, dia tidak lagi perlu menaiki bot penambang memandangkan adanya kemudahan jalan raya yang ­menghubungkan kampung tersebut dari bandar Jerantut melalui Kuala Tahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN