KUCHING – Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandu terjatuh ke dalam sungai di Jambatan Tun Salahudin di sini malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mayat mangsa berusia 62 tahun itu dijumpai pada pukul 9.32 pagi tadi oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
“Mayat mangsa dibawa naik oleh pasukan PPDA dan dibawa ke jeti Jabatan Laut untuk tindakan lanjut,” katanya.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menaikkan kenderaan Mitsubishi Triton mangsa pada pukul 1.40 tengah hari.
Pihak bomba menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 10 malam tadi dan operasi SAR segera dilaksanakan melibatkan Unit PPDA yang melakukan dua selaman pada kedalaman 5.7 meter, namun gagal menjumpai kenderaan mangsa.
Berdasarkan keterangan saksi, kenderaan mangsa sampai di tempat kejadian pada pukul 10 malam. Pada mulanya kenderaan itu tersangkut pada besi jambatan sebelum terjatuh ke dalam sungai.- KOSMO! ONLINE