BAGI sesetengah orang, bermain permainan video boleh menyebabkan kelalaian sehingga tugas hakiki mereka sebagai pelajar atau pekerja terbengkalai.
Namun, stereotaip itu ditepis oleh Luqman Haziq Hajiman apabila dia bukan sahaja memiliki kerjaya sebagai pakar pengebilan dalam bidang kewangan, malah menempa nama di arena FIFAe.
Dalam dunia e-sukan, atlet berusia 28 tahun tersebut pernah muncul sebagai pemain Malaysia pertama yang layak ke FUT Champions Cup di Barcelona pada 2018.
Pencapaian sulung di pentas global itu menjadikan pemuda yang turut dikenali sebagai LuqmanHzq sebagai perintis dalam arena FIFA kompetitif untuk Malaysia.
FUT Champions Cup ialah sebahagian daripada FIFA Global Series iaitu laluan ke kejohanan dunia FIFA eWorld Cup.
Selain itu, pemuda berasal dari Ampang, Kuala Lumpur ini juga muncul sebagai juara dalam FIFA Global Series East Asia Qualifier 3 pada 2021.
Kejayaan itu merupakan pencapaian penting dalam kalangan negara-negara Asia Timur iaitu satu kawasan yang sangat kompetitif.
Luqman Haziq turut dipilih menjadi kapten ketika mewakili Malaysia di Sukan SEA 2022, sekali gus merupakan satu penghormatan besar di peringkat kebangsaan.
Mengulas mengenai permulaannya menyertai dunia e-sukan, Luqman Haziq mengakui gemar bermain permainan FIFA sejak era PlayStation 1, namun mula serius pada 2016.
“Saya tak pernah terfikir nak serius dalam e-sukan sehinggalah selepas tamat matrikulasi. Kawan saya masuk satu kejohanan yang menawarkan hadiah sebanyak RM1 juta.
“Kawan saya dapat tempat ketiga. Dari situ, saya sedar e-sukan sebenarnya ada masa depan di Malaysia. Saya terus mencuba nasib dengan menyertai kejohanan-kejohanan kecil,” katanya kepada K-Remaja.

Pengalaman di Barcelona pada 2018 menjadi titik tolak dalam hidupnya kerana dia bukan sahaja mula dikenali dalam kalangan komuniti e-sukan global, malah menarik perhatian pasukan dan penaja luar negara.
Paling mengujakan, anak sulung daripada dua beradik itu berpeluang bertemu sendiri dengan pemain profesional yang selama ini menjadi idolanya.
Para pemain antarabangsa tersebut tidak melihat Luqman sebagai peminat tetapi sebagai pesaing di medan pertandingan sekali gus memberinya keyakinan luar biasa.
Sementara namanya sedang meningkat naik dalam arena e-sukan, Luqman masih meneruskan impiannya dalam bidang akademik dengan menyambung pengajian di peringkat sarjana muda dalam bidang kewangan di Universiti Malaya.
Walaupun sibuk sebagai pelajar sepenuh masa, dia tetap aktif dalam kejohanan e-sukan termasuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.
Katanya, kejayaan tersebut tidak datang tanpa pengorbanan dan disiplin tinggi, terutama apabila pengajiannya tertunda setahun akibat pandemik Covid-19.
“Saya pastikan keputusan akademik dan e-sukan seimbang. Mak ayah saya juga tidak bimbang kerana mereka percaya saya pandai membahagikan masa.
“Ketika itu, saya memilih untuk belajar dalam kumpulan atau bersama pensyarah. Saya manfaatkan masa belajar supaya saya ada ruang selebihnya untuk berlatih e-sukan,” katanya.
Pada 30 September 2020, Luqman Haziq memulakan kerjayanya bersama GBX Esports Team, sebuah pasukan e-sukan dari Malaysia yang aktif dalam kejohanan FIFA.
Luqman Haziq bersama pasukan tersebut sehingga 22 Julai 2022, sebelum kembali menyertainya semula pada 4 November 2023 hingga tamat musim lalu.
Selain mewakili kelab, dia turut membawa nama negara sebagai wakil pasukan kebangsaan Malaysia dalam kejohanan antarabangsa seperti FIFAe Nations Cup 2021 dan FIFAe Nations Series 2022.
Sejak mula bekerja sepenuh masa tiga tahun lalu, Luqman Haziq mengakui dia meletakkan kerjaya e-sukan sebagai kerjaya separuh masa yang diusahakannya setiap malam dan hujung minggu.
“Saya bekerja dari rumah, jadi situasi ini memberi kelebihan besar dari segi pengurusan masa dan fleksibiliti dalam menyusun jadual latihan selepas tamat waktu kerja.
“Sewaktu melakukan kerja hakiki, saya pastikan tumpuan diberikan sepenuhnya kepada kerja dan siapkan semua. Pada waktu malam pula fokus latihan FIFA,” katanya.
Dedah Luqman Haziq, jika dahulu dia perlu meluangkan masa antara 10 hingga 12 jam sehari untuk berlatih, kini cukup dengan hanya sekitar 4 jam pada waktu malam.
Bezanya, latihan kini jauh lebih berkualiti kerana pengalaman yang dimiliki membolehkannya fokus kepada aspek tertentu yang perlu diperbaiki.

Antara rutin penting dalam latihan termasuklah membuat ulasan semula terhadap corak permainan sendiri bagi mengenal pasti kelemahan serta mencari ruang untuk meningkatkan prestasi.
Menjelang kejohanan pula, jadual latihan akan diperketat dan dipertingkat, termasuk menambah masa latihan intensif pada hujung minggu untuk memastikan dirinya benar-benar bersedia pada hari pertandingan.
Kongsinya, biarpun tidak lagi bermain sepenuh masa, dia mempunyai rakan yang sudi menilai permainannya dan membantu memperbaiki bahagian yang lemah.
“Walaupun saya tak lagi bermain sepenuh masa, saya masih ada rakan yang sanggup bantu tengok semula gameplay saya.
“Kami sama-sama kenal pasti kelemahan dan cari cara untuk perbaiki. Bila hampir dengan kejohanan, saya akan tambah masa latihan agar tidak ketinggalan,” katanya.
Selepas mengumpul banyak pengalaman dalam industri ini, Luqman Haziq mula belajar untuk tidak meletakkan terlalu banyak jangkaan dan tekanan ke atas diri sendiri.
Baginya, cabaran terbesar dalam dunia e-sukan bukan sekadar datang daripada aspek permainan tetapi juga tekanan sosial di luar arena tersebut.
Menurutnya, antara kesukaran paling ketara ialah mengurus tekanan dalam persekitaran komuniti e-sukan tempatan yang disifatkannya sebagai agak toksik.
Kata Luqman Haziq, terdapat kecenderungan dalam kalangan sesetengah pihak untuk lebih meraikan kegagalan seseorang berbanding kejayaan, khususnya apabila seseorang pemain itu kerap meraih kemenangan.
“Ada yang tidak boleh menerima hakikat bahawa pemain yang sama terus menang kerana mereka mahukan wajah baharu sebagai juara.
‘Kadangkala, komen dalam talian bukan sahaja menyasarkan diri saya, malah turut melibatkan keluarga dan rakan-rakan,
“Namun kini, saya lebih matang dan mampu mengatasinya denga baik” katanya.














