PETALING JAYA – Kadar penggunaan pengangkutan awam di negara ini masih rendah iaitu sekitar 25 peratus.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu jauh berbeza dibandingkan dengan beberapa negara maju.
Kata beliau, negara jiran Singapura malah mencapai kadar penggunaan pengangkutan awam 67 peratus, Seoul (63 peratus) dan Tokyo (73 peratus)
“Saya sentiasa percaya sistem pengangkutan awam yang cekap bukan sahaja dapat melancarkan pergerakan harian rakyat, malah turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial serta mobiliti yang inklusif di bandar mahupun di desa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia berdepan realiti kepadatan kenderaan di dalam negara yang menyaksikan sehingga hujung 2024, terdapat 38.7 juta kenderaan berdaftar di Malaysia bersamaan 727 kenderaan bagi setiap 1,000 penduduk.
Menurut beliau, ia melebihi jumlah penduduk negara yang hanya 34.1 juta dan angka itu terus meningkat didorong oleh jumlah jualan kenderaan baharu (TIV) mencecah 816,747 unit yang tertinggi dalam sejarah negara.
“Trend ini bukan sahaja membebankan infrastruktur sedia ada, malah meningkatkan risiko keselamatan jalan raya serta menjejaskan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Ujar beliau, dengan gerak kerja berterusan oleh agensi seperti Prasarana dan kerjasama semua pemegang taruh mampu membentuk masa depan pengangkutan awam negara yang lebih mesra rakyat, lestari dan efisien. – KOSMO! ONLINE